5 Kesilapan Dalam Kerjaya Yang Kita Buat Tanpa Sedar
[Bacaan 5 Minit]
Kerjaya adalah haluan pekerjaan bagi kebanyakan individu khususnya yang makan gaji. Sebagaimana perniagaan ada kaedah dan panduannya begitu juga kerjaya. Kerjaya juga merangkumi lebih 50% dari kehidupan kita. Tak percaya? Kalau sehari ada 24 jam dan kita tidur selama 7-8 jam, maknanya hanya berbaki lagi 16 jam. Bukankah majoriti kita bekerja 8 jam sehari? Bahkan kita akan menghabiskan 40-50 tahun bekerja.
Dah kerja lama-lama alangkah malang jika kita buat kesilapan-kesilapan yang membantutkan kerjaya. Apa kesilapan tu? Jom tengok!
1. Setia Dengan Syarikat
Kesetiaan memang satu nilai terpuji. Tapi nilai tersebut juga perlu sesuai dengan tempatnya. Dalam persekitaran kerja, kesetiaan boleh memberi pulangan atau sebaliknya. Kenapa? Sememangnya ada syarikat yang akan menghargai kesetiaan anda bila terus menyumbang kepada syarikat dalam tempoh yang panjang seperti 5 tahun, 10 tahun atau lebih. Tetapi tak kurang juga syarikat yang tak pernah kisah tentang tempoh perkhidmatan anda.
Ramai sahaja yang bekerja hingga 5-10 tahun tanpa kenaikan pangkat. Bila ada kekosongan pula, diberikan kepada calon luar walaupun anda yakin dan berkelayakan untuk galas tanggungjawab yang sama. Itulah realiti sebenar. Bahkan mereka yang dah setia dengan syarikat juga tak dijamin akan selamat dalam fasa genting seperti pelepasan tenaga kerja secara pukal atau "retrenchment". Pokoknya jangan jual kesetiaan anda kepada syarikat yang tidak beri penghargaan yang setimpal. Syarikat bukan keluarga anda, mereka hanya membeli masa dan kemahiran anda. Anda berhak memilih untuk jual beli dengan sesiapa yang anda mahu.
2. Hanya Berharap Dengan Kerja Keras
Ramai yang anggap kerja keras pasti berjaya. SALAH. Bukan salah kerja keras tapi, kerja keras sahaja tak cukup. Nak berjaya perlu kerja keras dan kerja bijak. Kerja bijak macam mana? Utamakan kerja anda untuk perkara yang memberikan pulangan paling tinggi terhadap syarikat. Jangan lalai dengan "kerja sibuk" yang anda penat lakukan dengan cermat dan kemas tetapi hakikatnya majikan anda tak peduli kerana tak memberi impak besar pada syarikat.
Inilah kesilapan yang selalu dilakukan mahupun oleh pekerja "senior".
3. Takut Menjual Diri
Dah kerja keras dan kerja bijak pun boss tak nampak? Ya, memang biasa berlaku. Dah kerja hebat jangan buat senyap sahaja, ini bukan amal ibadah seperti solat malam yang elok anda sembunyi. Ini adalah tanggungjawab pekerjaan hakiki untuk cari rezeki. Sebab tu anda perlu menjual diri. Bukan jual kehormatan diri atau meninggi diri tapi tunjukkan hasil kerja anda. Setiap kejayaan yang anda peroleh pastikan boss anda tahu ia adalah hasil titik peluh anda.
Proses ini akan membuatkan boss lebih nampak kualiti dan kredibiliti anda. Bila dah nampak berkredibiliti barulah peluang anda dalam kerjaya lebih cerah. Itu realiti hubungan manusia. Selagi anda tak langgar halal haram, pedulikan yang lain.
4. Hanya Mempunyai Kemahiran Khusus
Sebahagian daripada kita mempunyai kemahiran yang agak khusus atau terpencil. Walaupun ianya kelihatan berharga buat masa sekarang, anda perlu tahu zaman berubah. Apatah lagi zaman sekarang yang berubah cukup pantas. Hari ini guna kaedah ini, bulan depan dah guna yang lain. Kelmarin perlu khidmat seorang pekerja, bulan depan dah guna AI sahaja.
Apa yang penting adalah anda harus berfikiran terbuka dan terus belajar kemahiran-kemahiran baru serta kukuhkan kemahiran asas seperti pengurusan, komunikasi, analisa dan lain-lain.
5. Tiada Sumbangan Dalam Tempoh Terdekat
Kalau tahun lepas anda berjaya capai sesuatu yang besar untuk syarikat, tahun ini mereka takkan ucap tahniah buat kali kedua. Nilai anda pada syarikat bukan bergantung kepada apa yang anda pernah buat semalam, tetapi apa yang anda boleh buat untuk hari esok. Betul nak capai sesuatu yang besar mengambil masa dan tenaga dan anda wajar diberi penghargaan. Tetapi dalam persekitaran pekerjaan yang pantas hari ini anda perlu sentiasa memberikan nilai kepada syarikat kalau tak mahu ketinggalan.
Mereka yang memberikan nilai paling rendah kepada syarikat adalah yang paling berisiko untuk ditinggalkan. Sebab itulah anda harus sentiasa fokus dan jelas tentang nilai apakah yang anda beri kepada syarikat dan adakah ia benar-benar berharga. Jika ya, pastinya anda akan menjadi senarai pekerja yang mereka utamakan bahkan juga dalam senarai individu yang diinginkan oleh syarikat-syarikat di luar sana.
Kesimpulannya jika anda fokus membina nilai diri dan memberi hasil kepada syarikat, anda akan mempunyai kelebihan atau "leverage" untuk berjual beli dengan lebih banyak pihak, dan menerima lebih banyak tawaran selaras dengan nilai yang anda ada dan tonjolkan.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!

Comments
Post a Comment