Tips Bina Kekayaan? Ini 5 Jawapan dari Majoriti Jutawan
[Bacaan: 3 Minit]
Ramai yang berimpian nak jadi kaya. Tak salah. Bahkan makin banyak harta, makin banyak sumbangan yang boleh diberikan sama ada kepada ahli keluarga sendiri termasuklah masyarakat. Selagi mana rezeki yang dicari halal dan tanggungjawab lain tidak diabaikan, usahalah sebaik mungkin. Ini 5 tips dari mojoriti jutawan yang akan membantu anda capai ke tahap mereka.
1. Melabur Untuk Diri Sendiri
Bila sebut tentang pelaburan, ramai yang tanya, "kat mana?" ASB? Tabung Haji? Saham? Kripto? Salah! Tempat pertama yang sepatutnya anda mula melabur adalah diri sendiri. Kenapa?
Jika anda melabur di ASB, mungkin anda dapat pulangan dalam 5%. Tetapi sebagai contoh jika anda melabur untuk belajar kursus kemahiran menulis berharga RM100, kemudian anda berjaya mendapatkan seorang pelanggan untuk servis menulis berharga RM500, anda dah berjaya dapatkan pulangan sebanyak 500%. Itu hanyalah dari seorang pelanggan dan pastinya kemahiran baru anda boleh digunakan sepanjang hayat anda dengan pulangan yang berkali ganda lebih besar.
Sebab itulah melabur untuk diri sendiri itu adalah lebih utama. Jadi soalan sebenar yang patut anda tanyakan bukanlah di mana nak melabur tapi, apa yang anda boleh laburkan pada diri anda yang akan memberi pulangan lumayan untuk jangka masa panjang?
2. Kerja di Syarikat Kecil
Kenapa perlu kerja di syarikat kecil? Bukan ke syarikat besar yang biasanya mampu berikan gaji yang lebih tinggi? Betul syarikat besar biasanya lebih mampu untuk memberikan gaji yang lebih besar. Tetapi, hanya di syarikat kecil anda mampu belajar keseluruhan operasi syarikat. Dari bawah, hingga ke atas.
Biasanya syarikat kecil menuntut seseorang itu melakukan lebih dari satu tugasan secara khusus. Ini membolehkan anda untuk belajar dari semua aspek. Saya sendiri secara peribadi pernah terlibat dengan semua jabatan dalam syarikat secara langsung. Dari jabatan sumber manusia, pergi ke media kreatif, hinggalah turun ke lapangan membuat jualan kepada prospek yang bukanlah bidang saya secara khusus. Anda yang di dalam syarikat kecil pastinya akan tahu kerja-kerja harian rakan-rakan anda dari semua jabatan. Inilah peluang yang tak mampu diberikan dalam syarikat besar. Ini jugalah ilmu berharga kepada mereka yang nak jadi usahawan.
3. Cari Jalan Ketiga
Tim Armoo seorang usahawan yang berjaya menjual syarikatnya pada USD50 Juta ketika berumur 27 tahun. Pada awal usia, beliau sukar untuk dapatkan ilmu keusahawanan. Pada suatu hari, beliau dapat tahu ada satu seminar yang dihadiri Usahawan ternama seperti Richard Branson. Beliau nak sangat join seminar tu tapi tak mampu sebab tiket terlalu mahal untuk beliau. Jadi, beliau hantar satu emel kepada pihak penganjur dengan mengatakan,
"Aku akan susun semua kerusi sebelum hari seminar dan aku akan kemaskan balik semua kerusi selepas hari seminar kalau aku dapat satu tiket masuk". Keesokan harinya beliau pun menerima tiket ke seminar tersebut.
Inilah tahap kesungguhan yang jarang ada dalam masyarakat kita sekarang. Jika jalan pertama (beli tiket) tertutup, kebanyakan orang terus matikan niat. Tapi tidak kepada orang seperti Tim Armoo. Kalau tutup jalan pertama, dia akan cari jalan kedua. Tutup jalan kedua, dia akan cari jalan ketiga. Begitulah seterusnya sikap golongan ini.
4. Menyebarkan Hasil Usaha Anda Sama Penting Dengan Usaha Itu Sendiri
Selain dari usaha untuk produk (atau servis) anda, menyebarkan produk/hasil kerja anda itu sebenarnya sama penting dengan menghasilkannya. Ramai orang ingat bila dah hasilkan produk yang terbaik, semua orang akan cari dan hargai produk anda. Maaf, anda silap.
Setelah bertungkus lumus hasilkan produk/servis anda, anda juga harus bertungkus lumus menyebarkannya supaya lebih ramai orang dapat manfaat. Setelah ramai orang mula mendapatkan manfaat dari hasil produk/servis anda barulah kejayaan/kekayaan itu akan datang kepada anda.
5. Kejayaan Yang Hebat Datang Dari Usaha Yang Hebat
Kebanyakan kejayaan yang kita lihat umpama satu kejayaan yang dicapai dalam satu malam. Ramai yang kenal Marques Brownlee sebagai Youtuber yang hebat dengan jutaan 'subscriber'. Tapi tak ramai tahu beliau tak pernah capai lebih 100 views hingga video yang ke 100 beliau hasilkan. Ramai yang kenal video Arun Maini atau "Mr. Whose The Boss" yang capai jutaan views dari setiap video di Youtube tapi tak ramai tahu beliau pernah habiskan hingga 100 jam untuk menulis satu skrip video.
Hakikatnya kejayaan yang hebat datang dari mereka yang sanggup mengorbankan lebih banyak masa berbanding orang lain. Tiada magik dan jalan pintas yang terlibat.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!

Comments
Post a Comment