Baru Mula Bekerja? Ingat 8 Tips Ini Supaya Pekerja Senior Tak Pandang Enteng
[Bacaan 3 Minit]
Masa baru masuk alam pekerjaan biasanya kita memang akan rasa terkapai-kapai, tak tahu apa yang kita buat ni betul ke, salah ke, tak efisyen ke, memang stress dan rasa rendah diri dengan potensi sendiri. Ingat boleh tunjuk perform depan majikan tapi asyik-asyik buat silap. Jangan risau, ingat 8 tips ni khusus untuk mereka yang baru mula kerja supaya nampak lebih perform dan matang di tempat kerja.
1. Anda Bukan Pakar Strategi
Mula kerja biasanya anda adalah seorang eksekutif. Maksud asal dari 'execute' atau pelaksana. Fokus kerja anda adalah pelaksanaan. Kesilapan biasa yang dilakukan bila kita terlebih fokus untuk merancang strategi. Sebelum anda diberi kepercayaan, fokus untuk jalankan tugas hakiki anda dengan pantas, efisyen dan berkualiti. Jika tidak, anda akan dilihat penuh dengan omong kosong. All talks. Sembang semata tapi hasil tiada.
Sebaliknya, jika anda dapat laksanakan tugas anda dengan baik secara konsisten pastinya mereka akan beri kepercayaan untuk anda merancang dan mengurus tanggungjawab yang lebih besar. Jangan salah fokus.
2. Jadi 100% Bertanggungjawab
Jualan rendah? Salah saya. Pelanggan tak puas hati? Salah Saya. Projek kurang hasil? Salah saya. Akui segala kesilapan dan ambil tanggungjawab terhadap segala tugas anda walaupun bukan anda seorang yang bertanggungjawab. Sebenarnya, sikap ambil tanggungjawab ini yang akan buat anda lebih matang dan seterusnya proaktif untuk terus cari penyelesaian dan solusi.
Majikan anda tak peduli jika kesalahan anda hanya 5% dalam projek tersebut dan rakan anda pula 20%. Tapi, majikan anda peduli 100% siapa yang boleh berikan solusi. Jadi, jangan buang masa anda untuk cari kesalahan orang lain, sebaliknya fikirkan solusi dan kongsikan kepada majikan anda.
3. Work-Life Balance Itu Mustahil
Isu ni memang sensitif dan agak kompleks sebab semua orang ada definisi yang berbeza. Tak boleh kerja lebih masa langsung? Tak boleh hubungi langsung lepas waktu kerja? Tak mahu kerja langsung pada hujung minggu? Jadi saya tak nak ulas panjang-panjang. Khususnya untuk yang baru kerja, realitinya anda perlu kerja lebih semasa fasa awal membina kerja. Kerana pada fasa inilah anda membina kemahiran dan pengalaman. Lebih banyak anda usaha, lebih banyak anda dapat. Itu hakikat dan lumrah kehidupan. Jadi terpulang kepada matlamat dan cara hidup masing-masing.
4. Fokus Kepada Usaha Bukan Hasil
Fasa awal kerjaya anda perlu fokus bagaimana menambahbaik usaha/proses kerja anda untuk memberikan hasil kerja terbaik. Sesekali anda akan rasa kejayaan mungkin dalam salah satu projek yang anda lakukan tetapi, selagi mana anda tak mampu hasilkan kecemerlangan secara konsisten, jangan mudah terpedaya dengan kejayaan awal yang banyak melibatkan 'nasib'.
Sebaliknya, fokus kepada usaha supaya anda boleh hasilkan kerja yang cemerlang secara konsisten. Itulah yang akan membawa anda ke tahap yang seterusnya.
5. Belajar Konsep "┴" (Inverted-T)
Masa, tenaga dan fokus. Semua itu adalah sumber yang terhad. Kita tak mungkin dapat belajar dan mahir dalam semua perkara lebih-lebih lagi dalam masa yang singkat. Jadi apa pilihan yang ada? Di sinilah datangnya konsep inverted-T atau T terbalik "┴".
Nampak tak dasar yang mendatar tetapi panjang di bawah "┴"? Itulah pengetahuan asas industri yang anda perlu tahu. Tak mendalam, tetapi setidaknya anda tahu semua yang asas. Satu palang yang panjang ditengah "┴" pula melambangkan kemahiran khusus yang anda perlu tahu secara mendalam. Tak banyak, mungkin 2 atau 3 kemahiran sahaja. Tetapi anda perlu lebih mahir berbanding kebanyakan orang dalam industri.
Inilah konsep yang akan membantu anda menjadi pekerja yang hebat dalam industri walaupun tanpa pengalaman yang banyak.
6. Bergaul Dengan Orang Yang Hebat
Tiada jalan pintas sebenar melainkan anda boleh belajar dari orang yang dah berjaya buat apa yang anda nak buat. Hakikat ini dah disebut berulang kali dalam psikologi, sejarah bahkan agama. Mereka yang disekeliling kitalah yang akan memberi impak terhadap kerjaya dan hidup kita.
7. Banyakkan Menulis
Apapun industri anda sekarang, pasti anda dapat menambahbaik cara dan kualiti kerja dengan lebih banyak menulis. Tulis apa? Tuliskan tugasan, proses, peringatan, pembelajaran dan apa sahaja yang anda fikirkan. Inilah amalan yang sangat mudah dibuat tapi memberi kesan besar dalam kualiti kerja anda.
8. Belajar Ilmu Menjual Dan Merunding
Sama ada anda menjual produk, servis atau kemahiran anda, semua orang akan dapat manfaat dengan belajar ilmu menjual. Sama juga dengan ilmu rundingan. Bila anda laksanakan sesuatu tugasan dan perlu bantuan orang lain, bila anda perlu menolak sesuatu tugasan dan banyak lagi situasi lain yang memerlukan ilmu rundingan yang baik.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!

Mantap
ReplyDelete