9 Fakta Kewangan Yang Jarang Disebut

 


[Bacaan 4 Minit]

Mungkin kita dah biasa dengar macam-macam cerita kewangan daripada cara berbelanja, menyimpan dan melabur. Tapi semua itu hanyalah separuh dari topik kewangan. Ini 9 fakta kewangan yang mungkin anda tak biasa dengar:-


1. Setia Kepada Syarikat Merugikan 

Ramai yang anggap jika kita bekerja keras dan setia dalam syarikat kita bekerja, kita akan diberi imbalan yang lumayan. Fikiran ini sebenarnya SALAH. Kenapa pulak? Ada bukti ke?

Ada. Buktinya kadar kenaikan gaji tahunan secara purata hanyalah 5% - 10% sedangkan kadar kenaikan gaji ke syarikat baru secara purata adalah 10% - 30%. Inilah realiti yang tak boleh disangkal. Jika syarikat anda bekerja sekarang boleh berikan kenaikan tahunan lebih dari purata semasa dan kelebihan-kelebihan lain, silakan setia kerana anda berada di tempat yang betul. Tetapi jika tidak, fikirkanlah pilihan yang akan membawa anda lebih dekat kepada matlamat kewangan anda.


2. 70% Jutawan Bukan Dari Harta Peninggalan

Hanya 30% Jutawan hari ini adalah hasil dari harta peninggalan keluarga. Majoritinya tidak. Apa maksudnya? Maksudnya majoriti jutawan berjaya capai matlamat kewangan mereka hasil dari titik peluh sendiri. Bukan dari angan-angan lahir sebagai anak Raja atau CEO Megah Holdings.

Jadi sekarang adakah anda rasa mustahil untuk jadi sebahagian dari 70% itu?


3. Menjadi Kaya Datang Daripada Sikap

Sikap adalah pemikiran, rutin dan tindakan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian. Orang kaya yang sebenar:-

Kurang mengeluh. Berfikir jangka masa panjang. Sentiasa tambah ilmu. Mempunyai matlamat. Tahu nilai masa. Fokus membuat perkara yang menyumbang kepada matlamat mereka. Sikap ini yang lama kelamaan memberikan hasil dalam hidup mereka.


4. Pasangan Anda Menentukan Halatuju Hidup

Tiada yang memberikan lebih banyak impak dalam kehidupan berbanding pasangan anda sendiri. Mereka yang akan menghabiskan paling banyak masa bersama anda. Secara tak langsung mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup anda.

Jika pasangan anda mempunyai matlamat berbeza yang bertentangan dengan halatuju anda, hampir mustahil anda akan capai matlamat tersebut. Jadi, pilihlah pasangan yang mempunyai halatuju dan gaya hidup yang selari dengan matlamat anda. Termasuklah matlamat kewangan.


5. Kebanyakan Berita Tak Berguna

Satu perkara yang orang kaya jarang ambil perhatian adalah berita. Terlalu banyak berita hari ini dengan adanya platform atas talian. Kebanyakan berita sebenarnya langsung tak bermanfaat dan memberi nilai dalam hidup anda. Tetapi, itulah yang banyak ditelan selama berjam-jam melalui media sosial. Akhirnya memakan sebahagin besar masa seharian anda tanpa anda sedari.

Fikirkanlah semula dengan masa tersebut apa yang anda boleh lakukan supaya lebih dekat dengan matlamat anda.


6. Buat Duit Sebenarnya Mudah

Kalau cerita zaman 90-an atau tahun 2000 mungkin terlalu banyak limitasi yang ada. Tapi zaman sekarang hampir tiada limitasi khususnya mereka yang ada akses internet. Hampir segala ilmu boleh diakses secara PERCUMA. Bahkan hampir mustahil untuk kita menelan semua ilmu percuma yang ada sekarang.

Sama ada belajar kemahiran untuk tambah nilai dalam kerjaya ataupun membina perniagaan sendiri tanpa modal langsung. Semuanya boleh dilakukan. Tetapi realiti sebenarnya, berapa banyak akses yang ada sekalipun, tak semua orang sanggup usaha lebih dari yang lain. Sebab itu kekayaan ini, dalam masa panjang, sebenarnya adalah satu pilihan, bukan 'nasib'. Buktinya setiap hari kita sendiri yang pilih apa nak buat. Melainkan anda seorang banduan di penjara yang hanya mengikut arahan. Adakah anda seorang banduan?


7. Anda Tak Perlu Kerja 24/7

Sebenarnya nak capai matlamat kewangan tak perlukan kerja seharian atau lewat malam setiap hari. Ramai sahaja jutawan hari ini yang masih boleh berikan masa kepada keluarga bahkan hobi sendiri. Kuncinya adalah Keutamaan dan Disiplin. 

Bak kata Jocko Willink, bekas Laksamana NAVY US, Disiplin = Kebebasan. Sebenarnya hanya mereka yang ada disiplin akan mempunyai masa untuk bekerja, berkeluarga dan pelbagai lagi keutamaan dalam hidup mereka. Sebaliknya mereka yang tak ada disiplin sentiasa rasa tak cukup masa walaupun nak buat satu perkara.


8. Pelaburan Bukan Judi

Pelaburan bukan judi (selagi mana pelaburan itu disahkan badan bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia). Orang yang berjudi tak pernah tahu sama ada mereka akan untung atau rugi. Tiada rekod dalam sejarah mengatakan kalau mereka buat sekian-sekian mereka akan dapat sekian-sekian. Berbeza dengan pelaburan. Pelaburan ADA BUKTI.

Sebagai contoh mereka yang melabur 20 tahun lepas hingga hari ini dalam pasaran indeks US menerima pulangan secara purata 10% SETIAP TAHUN. Ini bukan sejenis nombor tikaman tetapi nombor yang tertera dalam statistik dan sejarah kewangan. Pelaburan adalah instrumen yang dah terbukti membantu ramai orang mencapai matlamat kewangan. Jadi, melaburlah dan jangan berjudi.


9. Industri Pekerjaan Menentukan Pendapatan

Minat itu tak salah tapi satu fakta yang tak boleh disangkal adalah setiap industri mempunyai pulangan pendapatan yang berbeza. Kerja mencuci itu tak salah, bahkan halal dan mulia tetapi realitinya mereka yang kerja di industri perbankan pasti menerima pendapatan lebih tinggi. Ini realiti kehidupan. Sama juga bidang-bidang lain, ada yang lebih (secara purata) ada yang kurang.

Jika pilihan itu selari dengan matlamat anda, teruskan. Jika tidak, anda perlu lakukan sesuatu. Mungkin anda boleh kekal dalam bidang yang sama tetapi mencapai matlamat kewangan dengan membina sumber pendapatan yang lain seperti perniagaan sambilan dan lain-lain. Semua itu pilihan dan matlamat hidup masing-masing.


Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.

Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah



Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:- 

https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517

Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!

Comments

Popular posts from this blog

3 Tips Memanfaatkan Penggunaan Twitter

5 Kesilapan Dalam Kerjaya Yang Kita Buat Tanpa Sedar

Malas Baca Buku Kewangan? Ini 9 Cara Fikir Yang Akan Mengubah Kewangan Anda