Ini Jawapan Untuk 5 Persoalan Penting Tentang Takaful Yang Anda Sendiri Mungkin Tertanya



[Bacaan 3 Minit]

Haritu aku ada post sikit pasal takaful, ramai pulak yang DM dan tanya. Aku fikir elok juga kongsi kat sini terus sebab takaful ni ilmu kewangan yang penting untuk semua orang tahu. Sebelum tu sebagai disclaimer aku bukan ejen takaful atau bekerja di syarikat takaful jadi aku kongsikan sebagai pengetahuan asas sahaja.


Aku nak ceritakan pasal takaful ni dengan menjawab 5 soalan-soalan yang selalu orang tanya pasal takaful supaya lebih mudah faham.


1. Apakah jenis-jenis takaful yang ada?

2. Siapa yang perlu takaful?

3. Nak ambil yang mana dulu?

3. Apakah persediaan sebelum ambil takaful?

5. Berapa perlu carum untuk takaful?


Sebelum tu sebagai permulaan, "Takaful" ni asalnya dari perkataan Arab "Kafalah" yang bermaksud jaminan bersama. Hari ni "Takaful" yang kita kenal adalah penjenamaan kepada instrumen kewangan yang mengambil konsep asas dari maksud asal Takaful tadi. Sebab ini jugalah Takaful dan Insurans adalah dua instrumen berbeza dari sudut mekanisme. Jadi sebagai seorang Muslim aku nak anjurkan supaya elakkan Insurans Konvensional dan pilih Instrumen Takaful yang dah disemak oleh Pakar Kewangan Islam sebagai patuh syariah.

Dah faham maksud Takaful, jom tengok 3 benda penting yang semua orang perlu tahu pasal Takaful!


Jenis Takaful

1. Hibah - Hibah ni maksudnya hadiah, dalam hal ni hadiah dalam bentuk kewangan kepada penama bila kita meninggal dunia. Penama biasanya pasangan sebab dah jadi tanggungan kita. Boleh jadi juga ibu atau ayah terutama kalau keluarga bukan orang senang dan kita dah biasa tanggung. Kan ada faraid? Kalau memang berharta boleh la faraid. Tapi kalau 5 angka pun tak ada dalam akaun bank nak hibah apa? Jangan risau, perkara ni normal untuk majoriti masyarakat yang bukan anak Papa Megah Holding. Kerja tak sampai 5 tahun, simpanan mestilah tak banyak mana. Lagi satu proses faraid boleh jadi panjang sampai setahun atau lebih pun ada. Kalau hibah kebiasaannya dalam seminggu dah boleh dapat.

Siapa yang perlu Hibah? Balik kepada penama tadi, kalau anda dah beristeri apatah lagi ada anak, silalah ambil untuk bantu mereka kalau anda tiada. Sama juga kalau anda menanggung mana-mana ahli keluarga seperti ibu atau ayah misalnya, bolehlah ambil supaya nafkah mereka tidak terputus. Kalau masih bujang dan belum berkemampuan, tiada masalah untuk anda tunggu dulu sebelum mengambil hibah.


2. Income Protection - Kenapa nama Income Protection? Sebab tujuannya melindungi anda bila tak mampu jana pendapatan. Bahasa mudahnya, beri pampasan kewangan kalau anda sakit kritikal (kanser dll.) atau cacat kekal. Pastinya pekerjaan kita terganggu dalam keadaan begitu. Mungkin boleh usaha tapi sangat sukar berbanding sebelumnya.

Siapa yang perlu Income Protection? Sama macam Hibah, kalau ada orang yang anda tanggung (isteri, anak, ibu etc.) sangat digalakkan ambil. Cuma, kalau tak ada tanggungan pun elok juga ambil sebab anda pun cari nafkah untuk diri sendiri kan? Kalau berlaku apa² dan susah nak cari pendapatan macam mana? Jadi kalau dah mampu silalah ambil sebab berbeza dengan Hibah, Income Protection bukan sahaja untuk tanggungan tetapi melindungi diri anda sendiri jika berlaku kemalangan.


3. Medical Card - Mudah faham untuk cover bil rawatan. Gomen kan ada? Gomen pun kadang ada sampai puluh ribu kos rawatan tertentu. Bukan semua RM1 ya. Anda sanggup habiskan simpanan puluh ribu? Kalau gomen penuh? Lambat? (Rawatan kritikal boleh que sampai berbulan) Jadi terpaksa la cari Hospital Swasta yang kos beratus ribu.

Siapa yang perlu medical coverage? Kalau anda nak elak jatuh bankrupt sebab kos rawatan atau nak rawatan terbaik atau pantas silalah ambil. Sama ada untuk diri sendiri mahupun ahli keluarga. Macam-macam jenis pakej dah ada. Cuma boleh mula untuk diri sendiri dulu kalau belum mampu untuk keluarga.


Nak ambil yang mana dulu?

Kalau tanya aku yang lebih penting adalah Income Protection. Sebab? Kalau sakit, masih boleh beratur di hospital gomen. Kalau kita meninggal, isteri mungkin masih boleh bekerja. Tapi kalau kita masih hidup tapi dah terlantar sakit? Isteri pulak nak tanggung kita. Jadi eloklah ambil Income Protection supaya jika kita tak mampu bekerja, dah ada pampasan untuk tanggung diri sendiri dan keluarga.

Lepas tu? Hibah. Sebab? Macam tadi yang disebutkan kalau sakit, terutama di Malaysia ni sistem kesihatan gomen masih baik. Tapi kalau kita dah tiada, belum tentu ahli keluarga lain boleh bantu anak isteri kita. Cumanya situasi ni boleh berubah kalau polisi kesihatan di Malaysia berubah secara mendadak.

Setidaknya buat masa sekarang beginilah turutannya pada pandangan peribadi aku.


Apakah Persediaan Sebelum Ambil Takaful?

Kalau dengar dari majoriti ejen, memanglah semua disuruh ambil, tak kira situasi dan latar belakang. Aku nak kongsi sebagai marhaen sahaja sebab realiti memang ada yang mampu ada yang belum mampu. Contoh? Kalau dah gaji minimum RM1500 dengan berbagai komitmen penting (keluarga etc.) memang tak mampu nak carum. Itu realiti. Jadi, kalau gaji masih rendah, usahakan dulu naikkan gaji. 


1. Naikkan gaji 

2. Aliran tunai positif (Komitmen tidak melebihi pendapatan/ boleh menyimpan secara konsisten)

3. Simpanan kecemasan 6 bulan gaji/komitmen bulanan


Dah mampu capai 3 perkara ni bolehlah mula survey takaful yang diperlukan ikut situasi dan kemampuan masing-masing.


Berapa Nak Carum Untuk Takaful?

Banyak formula orang kongsikan di luar sana. Tapi secara kasar korang boleh guna formula 3%, 5% atau maksimum 10% gaji. Nak pilih yang mana itu terpulang dengan latar belakang dan situasi masing-masing. Kalau jenis risau dengan risiko mungkin 10% lebih sesuai untuk beri ketenteraman kepada anda sebab boleh dapat pampasan dan perlindungan lebih tinggi. Kalau masih baru bekerja dan risau komitmen yang tinggi, ambil 3% dulu pun tiada masalah. Kalau tak pasti nak pilih mana nak yang menyederhana bolehlah ambil 5%.

Secara mudahnya tiada mana-mana peraturan yang tetap. Tetapi sila ambil bila mampu. Kalau tak mampu banyak, carum yang murah dulu pun tiada masalah. Mula sahaja dengan pakej-pakej yang bawah RM100. Anda boleh sahaja tambah caruman pada masa akan datang terutama bila pendapatan dah naik dan tanggungan juga makin besar. Paling penting bila ejen tanya, anda dah boleh cakap "Oh, saya dah ada takaful" sambil tunjuk nombor polisi anda tanpa kencing mereka macam sebelum ni.


BONUS

Tahu tak sekarang ni dah boleh ambil takaful (Hibah & Income Protection) menggunakan duit KWSP sahaja! Ya, tak perlu ganggu cashflow anda. Walaupun belum ada akses kepada semua pakej tetapi dah cukup bagus sebab dengan skim ni duit di tangan anda satu sen pun tak terusik. Buat masa sekarang syarikat yang menyertai skim i-Lindung KWSP ni adalah FWD Takaful, Etiqa Takaful dan Prudential. Skim ni antara pilihan terbaik untuk mulakan caruman takaful anda. Buka sahaja di Aplikasi KWSP dan lihat pakej-pakej takaful dalam skim i-Lindung.


Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.

Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah



Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:- 

https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517

Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!




Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

3 Tips Memanfaatkan Penggunaan Twitter

5 Kesilapan Dalam Kerjaya Yang Kita Buat Tanpa Sedar

Malas Baca Buku Kewangan? Ini 9 Cara Fikir Yang Akan Mengubah Kewangan Anda