11 Tips Kewangan Pelajar (Tips ke-11 akan buat hangpa insaf tak curi duit member)
Ramai pelajar masa kini menghadapi pelbagai bebanan kewangan khususnya mereka yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Masalah ini boleh dibendung dengan sedikit ilmu dan usaha jadi di sini saya sediakan beberapa tips kewangan kepada para pelajar sebagai solusi kepada masalah ini.
1. Belajar Pengurusan Kewangan
- Pelajar perlu peka dengan pengurusan kewangan setidaknya pada perkara asas seperti aliran keluar masuk wang eg. PTPTN/JPA/MARA dan sebagainya. Jadi, sebelum melaksanakannya secara praktikal pastikan anda sudah ada asas secara teoretikal dengan membaca buku atau lebih mudah membaca sekurang-kurangnya 10 artikel seperti yang anda lakukan sekarang. Ini bagi mengukuhkan ilmu pengurusan kewangan anda dan mengurangkan risiko kesilapan hanya dengan menambah sedikit ilmu!
- Persediaan teoretikal tidak akan mengambil masa yang lama tetapi amatlah penting dan jangan lupa untuk sentiasa mencatit maklumat penting sama ada dalam buku mahupun telefon kerana hasil perancangan anda juga perlu anda lampirkan untuk diri anda sendiri. Kemudian anda bolehlah bermula dengan menyenaraikan jumlah liabiliti yang wajib dilunaskan terlebih dahulu seperti yuran pengajian/sewa rumah dan lain-lain. Perkara ini penting untuk memudahkan anda membuat bajet kewangan sendiri.
2. Buat Bajet Kewangan
(A) Perkara asas dalam membuat bajet kewangan peribadi adalah menyenaraikan aliran keluar masuk wang eg. INPUT (PTPTN = RM3000/LAIN-LAIN = RM50/TOTAL = RM3050) - OUTPUT (YURAN PENGAJIAN = RM1000/YURAN KOLEJ RM450/TOTAL = RM1450) BAKI = RM1600
*yuran pengajian dan kolej satu semester 3 bulan
(B) Contoh Bajet :-
Buku pengajian = RM70 *beli buku senior
Pengangkutan (minyak motor/bas) = RM90
Makan minum = (RM12 sehari x 30 hari = RM360 / RM360 X 3 bulan = RM1080
FAMA = RM100
Simpanan = RM100
Stok makanan = RM60 (biskut/maggi/air mineral)
Infaq = RM50
Lain-lain = RM50 (yuran persatuan etc.)
(C) Rumusan Bajet :-
- Bajet tersebut hanyalah sebagai rujukan asas bagi memudahkan anda dan perlu difahami bahawa bajet adalah fleksibel mengikut keperluan anda sendiri tetapi pastikan anda sebolehnya memberi infaq dan membuat simpanan mahupun seringgit!
3. Jimat Pemakanan
- Belajar untuk makan dengan jimat tetapi bukanlah berlapar sehingga mengganggu fokus belajar dan menjejaskan kesihatan. Biasakan untuk berpuasa sunat Isnin/Khamis bagi yang Muslim tetapi jaga niat anda dengan baik. Biasakan makan nasi bujang dan air kosong jika anda makan diluar. Anda juga disarankan memasak makanan sendiri atau bersama rakan-rakan kerana ianya sangat menjimatkan eg. beli nasi putih RM1 air manis RM1 dan masak lauk (ayam) RM5 makan 3 orang jika dibenarkan untuk memasak bagi yang menetap di kolej. Jaga waktu makan anda kerana waktu pemakanan juga memainkan peranan dalam jumlah makanan yang diperlukan terutamanya sarapan yang selalunya menjadi masalah kepada mereka yang sentiasa lapar! *Selain lupa baca bismillah
4. Guna Kemudahan Universiti
- Gunakan kemudahan sedia ada di Universiti seperti pengangkutan bas dan perpustakaan sebaiknya. Ini kerana kemudahan ini sudahpun termasuk di dalam yuran yang anda bayar dan jika anda tidak menggunakannya maka anda telah rugi! Penggunaan pengangkutan sendiri juga menyebabkan anda mengeluarkan lebih untuk duit minyak dan sebagainya melainkan anda mampu jalan kaki yang juga merupakan alternatif bermanfaat jika pengangkutan sedia ada tidak memuaskan. Ramai pelajar masih tidak menggunakan perpustakaan universiti dengan sebaiknya kerana kebanyakan buku-buku rujukan yang dibeli sudahpun tersedia di dalam hanya menunggu masa untuk dipinjam tanpa sebarang kos! Kad pelajar juga merupakan salah satu kemudahan yang sering dilupakan sedangkan kad ini mampu memberi sedikit sebanyak penjimatan dalam sesetengah urusan untuk mendapatkan "harga pelajar". Selain itu, kemudahan wifi di sekitar Universiti juga patut diguna pakai sebaik mungkin khususnya dalam memuat turun nota dan sebagainya supaya tidak menggunakan data telefon anda bagi mengurangkan caj perkhidmatan.
5. Mohon Bantuan Kewangan
- Pelajar tidak seharusnya berasa malu untuk mendapatkan bantuan kewangan kerana anda dalam golongan fisabilillah yakni dalam proses menuntut ilmu jadi anda sememangnya layak untuk diberi bantuan. Dalam keadaan ini, anda boleh memohon bantuan melalui pusat zakat, yayasan negeri, biasiswa dan sebagainya. Bahkan masih banyak lagi jenis bantuan yang pelajar tidak didedahkan! Jadi, anda boleh bermula untuk mencari dan memohon bantuan-bantuan tersebut dengan merujuk dari laman web kerajaan atau swasta serta bertanyakan pada ahli keluarga, rakan-rakan dan pensyarah.
6. Buat Pekerjaan Sampingan
- Membuat pekerjaan sampingan bukanlah perkara baru dalam kalangan pelajar tetapi masih ramai yang tidak melihat peluang yang ada sebagai salah satu penyelesaian masalah kewangan mereka. Membuat pekerjaan sampingan mampu menambah input sekitar RM200 sebulan secara kasar mengikut bidang pekerjaan. Anda boleh memilih sama ada untuk bekerja waktu malam selepas kelas (tidak digalakkan) atau pada hujung minggu dan hari di mana jadual anda kosong dan yang paling penting ketika cuti semester. Tambahan lagi, dalam situasi sekarang terdapat pelbagai jenis pekerjaan yang fleksibel seperti volunteer event (RM50 per event)/jaga kiosk RM2 per hour)/restoran (RM7 per hour)/tuisyen (RM40 per class). Anda boleh mencari pekerjaan ini dengan pelbagai cara seperti melalui rakan-rakan dan online website bahkan sekarang ini terdapat apps khas untuk mencari pekerjaan sampingan.
7. Berniaga
- Perniagaan adalah 9/10 sumber rezeki dan ianya terbuka kepada semua tidak kira miskin atau kaya, yang bekerja mahupun yang masih belajar. Perniagaan ini sedikit berbeza dengan bekerja sampingan yang mana lebih kepada memberi servis atau khidmat terhadap majikan manakala berniaga dalam erti mudahnya menjual sesuatu produk. Berniaga juga merupakan salah satu pilihan kerana lebih fleksibel kerana anda sendiri mengurusnya 100%. Terdapat pelbagai jenis perniagaan yang sesuai untuk para pelajar seperti menjual topup, menjual makanan (burger/waffles/nasi lauk), menjual tudung, menjual kasut, membuat dropship, menjual emas dan lain-lain yang hanya menggunakan modal yang rendah. Banyak lagi perniagaan mudah dan modal rendah yang boleh diterokai seperti perniagaan online yang sesuai untuk seorang pelajar. Anda juga perlu membuat research tentang perniagaan yang ingin dilakukan supaya tidak melakukan kesilapan seperti menyertai skim piramid dan sebagainya. Perniagaan dari usia muda juga memberikan anda banyak kemahiran dan pengalaman bagi menempuh alam pekerjaan.
8. Palapes dan Suksis
- Kewujudan Palapes dan Suksis bukan sahaja memberi ruang untuk melatih fizikal dan mental pelajar malah membuka ruang kepada mereka yang memerlukan sumber kewangan tambahan secara sihat. Peluang ini harus difikirkan dengan teliti oleh para pelajar kerana ia melibatkan tempoh masa yang panjang (4 tahun) tetapi kepada mereka yang bersedia akan mendapat banyak manfaat dari segi kewangan dan lain-lain. Elaun akan diperoleh khususnya melalui latihan (RM60 per training) dan dalam tempoh yang panjang elaun itu sendiri mampu menampung pelbagai kos semasa pengajian. Tidak lupa anda juga akan menerima uniform secara percuma tidak seperti di zaman persekolahan (beli sendiri). Jadi sekiranya anda memerlukan sumber kewangan tambahan tidak salah untuk anda menyertai Palapes atau Suksis dan ingatlah bahawa peluang ini hanya terbuka bila anda di tahun satu pengajian kerana latihannya memerlukan tempoh hampir 4 tahun.
9. Simpanan dan Pelaburan
- Sebagai seorang pelajar, didikan untuk menabung perlu ada dalam diri. Pelaburan juga tidak perlu melibatkan ribuan ringgit sebagai permulaan. Membuat simpanan menjadi mudah bila anda sudah mempunyai matlamat yang jelas. Dari usia muda inilah anda perlu mempunyai matlamat sebagai contoh untuk membeli rumah pertama sebelum usia 25 tahun. Sekiranya anda tahu untuk memiliki rumah berharga RM150,000 pada zaman ini memerlukan (downpayment) sehingga RM15,000 di dalam tangan pasti anda sudah lama membuat simpanan. Membuat simpanan juga adalah fleksibel mengikut kemampuan anda. Secara mudah anda boleh menyimpan di Tabung Haji atau Amanah Saham Berhad (ASB) dengan merujuk kepada nilai dividen tertinggi eg. 7% dan 8%. Sebolehnya anda merencana simpanan jangka masa pendek (kurang 5 tahun/kahwin) dan jangka masa panjang (5 tahun ke atas/beli rumah) supaya lebih mudah untuk anda menguruskan simpanan. Selain itu terdapat juga simpanan berbentuk aset seperti tanah, rumah dan emas yang juga berfungsi sebagai pelaburan. Harga tanah dan rumah terlalu jauh untuk dimiliki oleh seorang pelajar jadi aset yang terdekat adalah emas yang nilainya sentiasa meningkat. Anda boleh menyimpan secara sedikit tetapi berterusan eg. 1 gram 1 bulan tetapi pastikan emas yang dimiliki adalah tulen dan disimpan secara fizikal dalam tangan. Sebolehnya emas 24K/999.9 yang lebih sesuai untuk perlaburan kerana peningkatan nilai yang tinggi. Perlulah diketahui juga bahawa emas adalah pelaburan jangka masa sederhana-panjang 3-5 tahun minima untuk mendapat pulangan yang baik. Bayangkan sebelum anda bekerja lagi anda sudah memilki aset! Jika anda meneruskan simpanan emas hendaklah juga belajar tentang pajak gadai emas dan zakat!
10. Lampirkan Perancangan Kewangan
- Setelah mempunyai ilmu asas dalam perancangan kewangan, langkah seterusnya adalah untuk merangka perancangan anda sendiri di dalam buku nota khas ataupun telefon pintar anda secara ringkas dan kemas. Jika anda fikir anda mampu untuk membuat pengurusan dan perancangan tanpa menuliskannya kembali percayalah ilmu itu tidak akan kekal lantas akan hilang manfaatnya. Sedangkan Imam Syafie yang sudah hafaz beribu Hadith sendiri sanggup menulis dengan air liurnya di tapak tangannya supaya tidak lupa bagaimana pula kita. Oleh itu, rangkalah mengikut kreativiti anda supaya jelas untuk anda sendiri memahaminya.
11. Tawakal
- Akhir sekali, tawakal adalah kunci segalanya dan jangan diambil mudah. Bila bicara tentang rezeki lazimilah beberapa amalan ini :-
a. Solat 5 waktu berjemaah
b. Solat sunat subuh
c. Solat taubat
d. Solat dhuha
e. Istighfar
f. Doa dengan penuh keyakinan
g. Banyakkan sadaqah
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!

Comments
Post a Comment