15 Tabiat Yang Membunuh Potensi Diri

 



[Bacaan 5 Minit]

Bila kita dah menetapkan sesuatu matlamat, pastinya banyak usaha yang perlu dilaksanakan untuk mencapainya. Selain menambah usaha, sebenarnya kita juga harus meninggalkan beban yang melambatkan dan menyukarkan lagi usaha kita. Beban ini adalah tabiat buruk. Jika kita biarkan sahaja tabiat buruk ini dalam diri, kita mungkin membazirkan masa bahkan mungkin menggagalkan matlamat kita sekaligus. Ini adalah 15 tabiat buruk yang akan menghalang anda dari mencapai matlamat kehidupan.


1. Terlalu Banyak Mengeluh

Hidup ini banyak ujian. Itu jelas. Tetapi terlalu banyak mengeluh atas ujian akan membentukkan jiwa yang lemah dalam diam. Semakin lama diri kita menjadi semakin lemah untuk menanggung ujian dan akhirnya akan menjadikan kita orang yang mudah berputus asa. Percayalah orang yang mudah berputus asa sukar mencapai apa-apa matlamat dalam hidup.

2. Terlalu Sibuk Merancang

Ramai orang mudah terperangkap. Merancang itu bagus bahkan wajib kita membuat persediaan tetapi ramai juga yang terlalu sibuk merancang. Akhirnya tiada usaha yang dilakukan atau hanya ditinggalkan separuh jalan tanpa hasil.

3. Katakan "Ya" Kepada Semua Benda

Antara perkara penting yang perlu kita sedar menjelang kedewasaan adalah sumber kita terhad. Masa kita terhad. Tenaga kita terhad. Kita tak mampu untuk melakukan semua perkara. Penting untuk kita mengetahui apa yang boleh dan perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dan tidak perlu dilakukan.

4. Mengagumi Perkara Yang Salah

Mungkin kerana pendedahan yang salah kita juga mempunyai pandangan yang salah. Ramai orang mengagumi perkara yang salah. Sebagai contoh kerja hingga lewat malam setiap hari itu dianggap sesuatu yang baik. Seharusnya kita mengagumi mereka yang kerja dengan teratur. Lunas tanggungjawab terhadap keluarga, kerjaya, masyarakat dan agama. Tanpa menyiksa dan merosakkan tubuh sendiri.

5. Ambil Nasihat Daripada Semua Orang

Mengambil nasihat itu bagus malah sangat digalakkan. Tetapi kita seharusnya faham tidak semua nasihat itu sesuai dengan situasi dan keadaan diri kita. Pastikan setiap nasihat itu ditapis mengikut laras prinsip hidup dan situasi kita.

6. Menganggap Hidup Sekadar Berjoging

Fasa hidup ini tidak seemestinya statik pada suatu keadaan. Jika kita sedang mempunyai misi yang besar misalnya, kita perlu berusaha dengan lebih rancak. Di suatu masa yang lain pula, kita mungkin tidak perlu terlalu terkejar-kejar dengan misi yang anda mengikut situasi dan kondisi diri.

7. Menyalahkan Masa

Kita tak mampu dapat 25 jam sehari tetapi dengan 24 jam yang ada cukup banyak yang mampu kita lakukan. Kebanyakan masa kita sudah terbiasa dengan rutin dan aktiviti harian yang menyebabkan kita rasa nak lakukan lebih hampir mustahil. Sebenarnya kita hanya perlu melihat kembali ke mana setiap jam kita dihabiskan. Dengan perancangan dan disiplin yang baik kita mampu mencapai lebih dari apa yang kita sangka.

8. Malas Bergerak

Penyakit zaman sekarang ini adalah hampir semua perkara boleh terhidang di depan mata. Dahulu kita mungkin hanya melihat dapur dan peti sejuk dihantar ke rumah kini secaawan kopi juga boleh sampai di depan pintu. Gaya hidup yang statik ini akan menghantui kita menjelang umur 30an dan 40an bila kita mula rasa mengah berjalan di dalam rumah sendiri dan kerap tidur dan terus tidur.

9. Nak Jadi Betul Berbanding Cari Kebenaran

Ramai orang nak jadi betul tetapi tak ramai yang nak cari kebenaran. Ini kerana mencari kebenaran memaksa seseorang untuk membuang ego dan mengakui kesilapan jika kebenaran membuktikannya. Hanya mereka yang berani mencari kebenaran mampu pergi lebih jauh di lembah kehidupan.

10. Lebih Suka Menunggu Berbanding Buat

Setiap dari kita mempunyai "default setting" atau tetapan asal yang memilih sama ada untuk melihat atau membuat sesuatu. Kebanyakan orang mempunyai ketetapan untuk tunggu dan lihat. Sebenarnya mereka yang mempunyai ketetapan untuk lihat dan terus buat ini lebih dekat untuk mencapai matlamat kerana mereka akan menimba lebih banyak pengalaman dan peluang hasil usaha yang lebih dari yang lain.

11. Multitask

Multitask atau atau membuat pelbagai kerja dalam satu masa sebenarnya adalah satu kerugian terhadap masa. Tanpa kerja yang penuh fokus kita hanya melambatkan kerja yang ada di samping menjatuhkan kualiti kerja. Asingkan kerja dengan lebih teratur dan masa yang cukup untuk fokus akan membawa hasil yang lebih kepada anda.

12. Menunggu Masa Terbaik

Tiada masa yang terbaik melainkan masa yang anda pilih untuk buat. Dalam pertandingan sukan tarung MMA, juara kategori Lightweight, Khabib Nurmagomedov (sebut: Habib NurMuhammad) terpaksa berdepan hari perlawanan beliau dalam keadaan jari yang patah dan badan yang sedang pulih dari jangkitan virus mumps selain masih menanggung sedih pemergian bapanya beberapa bulan yang lalu. Beliau tak lari bahkan meneruskan persediaan sebaik mungkin sehingga berjaya mempertahankan rekod kejuaraannya. 

13. Gaya Pemikiran "Scarcity"

"Scarcity" adalah gaya fikir yang menganggap kejayaan atau rezeki itu adalah terhad. Mereka yang mempunyai pemikiran scarcity cukup takut untuk berkongsi ilmu dan membantu orang lain kerana memikirkan kejayaan adalah terhad dan tak mampu dikongsi. Ini adalah kesilapan bagi mereka yang kurang bergaul dengan orang-orang yang berjaya. Hakikatnya mereka yang berjaya ini selalu akan memberi pesanan bahawa kejayaan mereka juga adalah hasil perkongsian usaha dan rezeki orang-orang yang sekeliling.

14. Fokus Pada Duit

Kepentingan duit mampu mengaburkan mata sesiapa sahaja. Tetapi untuk mencapai potensi diri yang terbaik, janganlah meletakkan fokus dan matlamat kepada duit. Perbetulkan niat dan kefahaman anda. Utamakan kemahiran dan kebolehan untuk membantu orang lain. Dengan kefahaman ini, tanpa manfaat kepada orang lain, duit itu tidak bernilai.

15. Tidak Mempunyai Keutamaan Yang Jelas

Kesilapan utama dalam kehidupan seseorang adalah tidak mempunyai keutamaan yang jelas. Keutamaan dalam hidup seharusnya menjadi sesuatu perkara yang sangat penting. Jika perkara itu tiada dalam jadual harian kita mana mungkin kita katakan ia suatu keutamaan. Tidak. Sebaliknya kita hanya mengatakan sebegitu tetapi realitinya tidak. Tanpa keutamaan yang jelas kita hanya hidup mengikut arus keadaan tanpa hala tuju. Kehidupan seperti ini akan membunuh potensi diri.


Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.

Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah



Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:- 

https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517

Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!






Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

3 Tips Memanfaatkan Penggunaan Twitter

5 Kesilapan Dalam Kerjaya Yang Kita Buat Tanpa Sedar

Malas Baca Buku Kewangan? Ini 9 Cara Fikir Yang Akan Mengubah Kewangan Anda