Anda Baru Diberi Tanggungjawab Untuk Memimpin Sebuah Pasukan? Jangan Risau Ini Caranya
[Bacaan 5 Minit]
Sampai satu masa dalam perjalanan kerjaya, kita akan diberi kepercayaan oleh boss untuk memimpin sama ada sebuah pasukan atau projek. Ini bermakna boss anda nampak potensi untuk anda pergi lebih jauh. Perkara ini tak mudah kerana sebelum ini anda hanya bertanggungjawab terhadap tugas sendiri tetapi kini anda juga bertanggungjawab terhadap hasil dan prestasi orang lain. Tetapi inilah peluang untuk anda buktikan yang anda sememangnya layak untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar. Jangan risau, kerana anda tak perlu mula dari kosong kerana inilah panduan untuk menjadi pengurus yang cemerlang:-
1. Cipta Visi
Pastikan anda mempunyai visi yang jelas. Apakah kejayaan pada anda. Bagaimana rupanya jika projek itu berjaya. Bagaimana rupanya sebuah pasukan yang hebat. Terjemahkan kejayaan tersebut kepada siri-siri matlamat yang lebih kecil untuk dicapai.
2. Komunikasi Yang Baik
Dengar untuk memahami. Bercakap dengan Jelas. Beri kritikan yang membina. Cari kritikan dari orang lain. Jelaskan bagaimana setiap seorang dari ahli pasukan mempunyai tanggungjawab masing-masing yang akan menatijahkan kejayaan buat semua.
3. Bina Strategi
Kenalpasti Visi dan matlamat. Bina strategi untuk capai matlamat. Apakah cara yang terbaik? Cara yang paling pantas? Cara yang paling efektif? Cara yang paling efisyen? Senaraikan tugasan-tugasan kecil yang akan membawa pasukan anda lebih dekat kepada matlamat.
4. Pilih Orang Yang Tepat
Jika anda diberi peluang untuk memilih sendiri pasukan anda, kenalpasti kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah yang diperlukan dalam pasukan anda untuk mencapai matlamat. Orang yang tepat mampu memberikan lebih dari apa yang anda perlukan manakala orang yang salah tak mampu memberikan apa yang anda perlukan.
5. Beri Latihan
Sehebat mana pun seseorang pasti ada ruang untuk ditambah baik. Ajar mereka bagaimana nak buat sesuatu tugasan dengan cara terbaik. Suruh mereka cuba sendiri dan lihat apa yang perlu diperbaiki. Berikan latihan yang sesuai. Ulang sehingga anda mampu memberi kepercayaan terhadap mereka. Penanda aras seorang pengurus yang berjaya adalah apabila anda tak perlu lagi mengurus pasukan anda.
6. Sediakan Sumber Yang Lengkap
Jangan biarkan pasukan anda melaksanakan kerja dengan tangan kosong. Jika ahli pasukan anda buat silap dan tiada panduan yang jelas (hitam dan putih) tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan maka itu adalah salah anda, bukan mereka. Sediakan peralatan dan panduan sebanyak dan selengkap mungkin. Pastikan mereka tiada alasan untuk tidak melakukan tugasan dengan betul.
7. Bina Sistem
Pastikan setiap matlamat, besar dan kecil mempunyai kayu ukur yang jelas. Bahagikan tugasan sebaik mungkin untuk mencapai matlamat. Pantau tugasan secara berkala dengan sistem laporan yang terperinci. Kenalpasti masalah seawal mungkin dan berikan solusi.
8. Motivasi dan Dorongan
Manusia adalah makhluk emosi. Dalam buku "The One Minute Manager" antara perkara wajib seorang pengurus perlu lakukan adalah memberi pujian. Beri pujian bila mereka melakukan sesuatu kerja dengan baik. Apabila mereka buat silap pula berikan teguran yang jelas. Apa yang silap, mengapa boleh silap, apa akibatnya. Kemudian akhirkan dengan dorongan bahawa anda yakin mereka sangat berpotensi untuk cemerlang dan kesilapan tersebut bukan diri mereka yang sebenar.
9. Bina Persekitaran Yang Baik
Pastikan setiap ahli pasukan jelas apa nilai yang anda pentingkan. Bertanggungjawab? Amanah? Tepati masa? Bagaimana cara mereka mengamalkannya? Apa pula situasi di mana nilai itu tak dijaga? Dalam buku "The Culture Code" disebutkan persekitaran kerja yang hebat adalah apabila setiap ahli pasukan jelas dengan matlamat, yakin dengan rakan pasukan dan tidak takut untuk berkongsi masalah atau pandangan.
10. Perspektif Jangka Masa Panjang
Sentiasa ada pelan jangka masa panjang. Apa yang seharusnya berlaku minggu depan? bulan depan? 6 bulan akan datang? Apa masalah yang mungkin dihadapi? Apa peluang yang boleh dimanfaatkan?Perancangan dan persediaan awal meningkatkan kebarangkalian pasukan anda untuk berjaya.
11. Perbaiki Diri
Pasukan yang hebat datang dari Pemimpin yang hebat. Mustahil untuk seseorang mengurus orang lain dengan baik jika dia sendiri tak mampu urus dirinya dengan baik. Kenalpasti kekuatan dan kelemahan anda. Sentiasa perbaiki diri. Fokus untuk memanfaatkan kekuatan anda sebaik mungkin dan mengurus kelemahan anda.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!

Comments
Post a Comment