Personaliti? Membantu ke dalam Interview?
[Bacaan 4 Minit]
Dalam arena kerjaya, sesi temuramah merupakan salah satu faktor besar yang menentukan hala tuju kerjaya kita. Mana taknya, kalau tak lepas sesi temuramah, melepaslah jawatan yang dipohon. Begitu juga kalau anda berjaya dalam sesi temuramah, maka bermulalah perjalanan kerjaya dalam bidang tersebut. Tapi ada satu persoalan yang tak ramai ambil tahu. Personaliti. Ada kaitan ke dengan temuramah?
Jawapan ringkasnya, ya. Tapi kalau nak tahu kenapa ya, jom kita kupas personaliti bagaimana yang membantu anda dalam sesi temuramah.
1. Kemas dan Professional
Manusia ni pelbagai ragam dan citarasa, betul. Tapi dalam sesi temuramah, tiada penemuramah yang suka melihat calon yang selekeh. Tak semestinya anda perlu pakai suit dan kemeja ratusan malah ribuan ringgit. Pakaian bundle pun boleh. Asalkan anda gosok baju, rambut kemas dan badan wangi. Barulah nampak anda seorang yang serius untuk memikul tanggungjawab.
Biarlah anda overdress dengan suit berbanding underdress dengan memakai baju kedut, kolar senget dan rambut tak sikat. Tapi billionaire terkaya macam Mark Zuckerberg dan Steve Job pakai baju biasa je? Jawapannya anda jadi billionaire macam mereka dulu lepas tu nak pakai baju pagoda pun terpulanglah.
2. Gaya Bahasa yang Yakin
Macam mana gaya bahasa yang yakin tu? Pertama, mesti bercakap dengan jelas. Jangan terlalu laju atau terlalu perlahan. Mata jangan melilau. Pandang mata penemuramah supaya mereka nampak anda yakin. Jika anda jenis yang cepat resah jangan malu untuk praktis terlebih dahulu. Kedua, pastikan anda jalan, berdiri dan duduk dengan badan yang tegap. Jangan membongkok kerana anda akan dilihat kurang yakin dan malas. Ketiga, salam tangan dengan tegap, jangan terlalu lembik atau terlalu kuat sebolehnya nampakkan diri anda setara dengan penemuramah. Barulah mereka rasa anda layak bersama dengan organisasi mereka.
3. Beri impresi yang menarik
Salah satu faktor utama penemuramah memilih seorang calon adalah apabila mereka boleh mengingati diri anda. Bayangkan calon ada 30 orang, semua ada kelayakan termasuk anda, sebab itu dipanggil untuk temuramah. Tetapi semua yang hadir cakap benda yang sama, mesti mereka bosan. Tiada "X-factor" yang membuatkan anda unik dan lebih menarik dari yang lain.
Jadi nak buat macam mana? Kenalpasti apa kelebihan anda. Apa cerita menarik berkaitan kerjaya, kelebihan dan pencapaian anda. Jangan malu untuk bercerita pada masa yang sesuai. Kebanyakan orang suka dan mudah ingat cerita yang menarik termasuklah penemuramah anda. Mudahkan mereka untuk ingat anda dan kelebihan anda.
4. Senyum
Ya, senyum je. Perkara mudah tapi ada juga yang terlepas pandang. Mungkin kerana terlalu risau dan resah. Tapi ingatlah, senyum sebenarnya membantu kita untuk lebih tenang. Senyum juga membantu menaikkan mood orang sekeliling.
5. Jujur
Biasanya dalam sesi temuramah kita pasti berhadapan dengan soalan, "Apa kelemahan anda?". Janganlah jawab "Saya terlalu rajin bekerja sampai penat lelah" dan sebagainya. Jangan. Jujurlah. Penemuramah anda kebiasaannya dah temuramah beribu orang selain anda jadi jangan anggap mereka bodoh. Jujur dengan kelemahan anda. Mungkin anda seorang pelupa, lambat faham dan sebagainya. Jujur sahaja tapi yang penting ceritakan juga cara anda mengatasi masalah tersebut. Kalau anda seorang pelupa, mungkin anda atasi dengan selalu buat nota supaya tak lupa. Kalau anda lambat faham mungkin anda menjadi seorang yang banyak bertanya soalan berbanding orang lain.
Mereka tak kisah jika anda ada kelemahan, tetapi mereka lebih kisah jika anda tak jujur dan tiada inisiatif untuk selesaikan masalah.
6. Rajin bertanya
Pada penghujung sesi, kita pasti diberikan ruang untuk bertanya soalan. Jangan bazirkan ruang ini dan jangan tunjukkan sikap kurang ambil tahu. Wajibkan diri bertanya soalan dan belajar untuk tanya soalan yang bernas. Contohnya,
"Apa sasaran syarikat untuk tahun ini?"
"Apa cabaran yang biasa dihadapi untuk posisi ini?"
"Apa kemahiran yang perlu dikuasai untuk berjaya dalam posisi ini?"
Tak boleh ke tanya pasal benefits macam berapa hari cuti, bonus dan lain-lain? Sebaiknya anda tanya sahaja soalan itu kepada HR sebab mereka dah ada jawapan tersebut. Melainkan anda mahu berunding ketika sesi temuramah.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!

Comments
Post a Comment