Hantar berpuluh Resume tapi tak ada respond? Ini 7 kesilapan yang ramai buat dalam Resume

 



[Bacaan 4 Minit]

Dah masuk alam pekerjaan, resume ni salah satu senjata untuk kita 'job hunting'. Makin hebat senjata kita makin mudahlah nak dapat hasil. Jadi, kalau anda dah hantar berpuluh resume tapi hasil tak memberangsangkan maksudnya ada sesuatu yang tak kena dalam resume anda pada mata HR atau bakal majikan. Ini 7 kesilapan besar dalam resume: -


1. Pengenalan Diri

Biasanya ditulis dalam bahagian pertama atau atas sekali sebagai 'About Me', 'Objective' dan 'Summary'. Tak salah sebenarnya nak tulis terutama mereka yang masih belum banyak pengalaman untuk memenuhi resume. Kaedah yang lebih sesuai sebenarnya bahagian ini ditulis dalam 'Cover Letter'. Cover Letter biasanya dibuat dalam satu dokumen asing tetapi dihantar sekali bersama resume. Apa yang nak ditulis?

Dalam Cover Letter ini kita boleh tuliskan pengenalan diri, apa kerja yang kita mahir/biasa lakukan. Apa yang kita minat. Kenapa kita yang paling layak dan sesuai untuk jawatan tersebut. Ini sekadar struktur, ada juga yang silap pada isinya. Contoh?

Kebanyakan dari kita akan tulis sikap-sikap seperti rajin bekerja, bijak memimpin dan sebagainya. Tak salah tetapi orang lain pun tulis benda yang sama. Jadi apa beza kita? Caranya adalah berikan contoh sekali pada setiap ciri-ciri tadi. Contohnya kualiti memimpin, ceritakan pengalaman kita mengetuai sesuatu projek. Barulah HR lebih yakin dan nampak kualiti anda.


2. Kemahiran Insaniah

'Soft skills' seperti pengurusan, komunikasi dan kepimpinan adalah penting tak kira jawatan. Jadi jangan beritahu anda lemah pada sekian-sekian. Bukan nak suruh anda tipu tapi setidaknya berlatih supaya anda memenuhi kualifikasi asas yang membolehkan anda buat kerja bersama orang lain. Mungkin tak memimpin level Perdana Menteri, tapi boleh mengetuai projek. Mungkin tak mengurus level Elon Musk, tapi boleh urus kerja dengan baik. 

Anda juga tak perlu senaraikan dalam satu bahagian khusus. Sebenarnya anda boleh tuliskan ciri-ciri ini dalam bahagian lain iaitu dalam point seterusnya....


3. Pengalaman

Ini adalah bahagian yang paling penting dalam resume dan ironinya bahagian yang ramai buat silap. Bila tulis pengalaman, jangan sekadar tulis syarikat anda buat itu dan ini, anda pula buat itu dan ini. Tuliskan apa tanggungjawab anda. Kemahiran apa yang anda gunakan untuk buat kerja tersebut. Hard skills? Soft skills? Paling penting, apa yang anda berjaya capai atau syarikat berjaya capai dari hasil kerja anda. 

Kalau kerja sales, sales berapa ribu? juta? Kalau kerja buat content atau jaga akaun media sosial, berapa kenaikan followers dan engagement? Kalau buat projek, apa hasilnya? Tulis dengan terperinci. Kalau ada nombor berkaitan, masukkan nombor. 

Barulah majikan nampak nilai anda. Itulah tujuan utama anda hantar resume. Nak tunjuk nilai yang anda boleh beri kepada syarikat. Kalau anda sekadar senarai kemahiran, apa buktinya? Kalau anda sekadar buat kerja, orang lain pun buat kerja. Tetapi apa yang anda boleh capai itulah yang utama. 


4. Projek

Kalau anda terlibat dengan sesuatu projek besar yang berimpak tinggi, boleh masukkan dalam satu bahagian khusus. Rugi sebenarnya jika anda banyak kemahiran dan impak tetapi tak ditonjolkan dalam resume. Bahagian projek ini sebenarnya ruang tambahan kepada bahagian pengalaman dan nilainya juga hampir sama di mata majikan. 


5. Pendidikan

Pendidikan sebenarnya hanyalah syarat asas. Apabila anda berada di senior level lebih kurang 3-5 tahun pengalaman pekerjaan, perincian seperti Major, GPA, CGPA dan lain-lain biasanya tak dilihat lagi. Cukup sekadar anda nyatakan mempunyai Ijazah Sarjana/Muda dalam bidang sekian-sekian. Pendidikan yang lebih penting untuk anda masukkan adalah jika anda mengambil kursus atau sijil kemahiran/profesional yang berkaitan dengan industri kerja yang anda mohon. 


6. Rujukan 

Balik kepada tahap pengalaman, bila anda sudah masuk ke senior level, pastikan rujukan anda bukan lagi Pensyarah di zaman Universiti (Melainkan anda dalam bidang Academia). Sebaiknya rujukan adalah dari figura kompeten dari industri semasa anda. Biasanya majikan atau Supervisor anda yang terakhir. Jadi, ringankan mulut untuk memohon izin untuk menjadikan mereka sebagai rujukan.

Jika anda masih menggunakan Pensyarah sebagai rujukan, majikan akan melihat anda seperti tahap fresh grad. Ini akan merugikan anda kerana sejujurnya kebanyakan majikan akan mengutamakan calon senior berbanding fresh grad kerana lebih diyakini untuk menggalas tanggungjawab tanpa banyak dipimpin.


7. Hantar Resume Yang Sama

Ini juga salah satu kesilapan yang ramai buat mahupun yang senior. Resume dan cover letter sebenarnya perlu dibuat atau setidaknya diolah khusus untuk setiap satu jawatan yang dipohon. Contoh, jika jawatan itu memerlukan anda untuk memimpin pasukan atau projek, pastikan anda masukkan lebih banyak pengalaman memimpin. Jika kerja itu memerlukan kemahiran teknikal, masukkan pengalaman anda menggunakan kemahiran teknikal tersebut.

Setiap jawatan memerlukan karakter dan kemahiran yang berbeza. Walaupun anda boleh menggalas jawatan yang berbeza itu, anda perlu nyatakan dalam resume dengan membuat olahan atau 'edit' secara khusus supaya majikan juga tahu.


8. BONUS

Kalau ada yang masih gunakan emel tidak professional, tukarlah dari sekarang. Emel ketika zaman sekolah seperti ahmadcomel@rocketmail.com, fatimahgojes@yahoo.com akan jadi punca resume anda ditapis awal.


Jika anda perbaiki kesilapan-kesilapan ini anda boleh tengok hasil yang sangat memberangsangkan. Tapi kalau dah dapat temuduga nanti jangan lupa buat persediaan pula. Nak bersedia macam mana? Boleh baca tips untuk temuduga ni.


Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.

Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah



Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:- 

https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517

Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!

Comments

Popular posts from this blog

3 Tips Memanfaatkan Penggunaan Twitter

5 Kesilapan Dalam Kerjaya Yang Kita Buat Tanpa Sedar

Malas Baca Buku Kewangan? Ini 9 Cara Fikir Yang Akan Mengubah Kewangan Anda