Meta-learning, Belajar Cara Belajar. Macam Mana Tu?
[Bacaan 7 Minit]
Proses pembelajaran adalah satu proses yang seharusnya berlaku sepanjang hayat. Ini kerana tak kira di mana sahaja kita dalam fasa kehidupan sentiasa ada perkara yang boleh kita belajar untuk menambah baik nilai hidup. Sama ada nak pandai akademik, mahir di tempat kerja, berjaya dalam perniagaan termasuklah nak didik anak. Semuanya perlukan ilmu. Tapi sebelum kita mula belajar, kita perlu tahu dulu macam mana nak belajar. Eh, macam mana tu?
Meta-learning atau belajar kaedah belajar adalah satu proses penting. Tujuan utamanya nak pastikan kita dapat ilmu yang terbaik dalam tempoh masa paling optimum. Tak adalah kita membelek-belek buku atau skrol artikel berjam-jam yang dapat nya secubit sahaja. Jadi hari ni saya akan kongsikan 9 konsep meta-learning supaya anda mahir untuk kuasai apa-apa bidang yang dipelajari.
1. Lakar Peta Pembelajaran
Senaraikan topik-topik yang ada dalam bidang tersebut dan buat lakaran bagaimana mereka saling berkait. Cari topik yang paling tinggi frekuensi disebutkan dan paling banyak digunakan untuk mendapat hasil yang paling maksima. Utamakan topik-topik ini terlebih dahulu untuk dipelajari. Inilah salah satu shortcut dan garis mula untuk anda menguasai sesuatu bidang.
2. Masa Fokus
Sediakan masa yang khusus untuk anda fokus mempelajari topik tersebut. Mungkin anda lebih sesuai belajar di awal pagi atau penghujung hari. Apa yang penting adalah anda mempunyai masa yang khusus tanpa gangguan yang banyak supaya anda boleh belajar dengan konsisten.
3. Pengalaman Raja Pengetahuan
Dapatkan pengalaman secara langsung dengan melakukan secara praktikal. Sebagai contoh jika anda mahu belajar tentang perniagaan. Jangan lepaskan peluang untuk belajar secara praktikal iaitu melaksanakan perniagaan sendiri walaupun dalam skala yang kecil. Kebanyakan ilmu boleh dipelajari secara praktikal dan itulah sumber terbaik untuk memastikan anda betul-betul menguasai bidang tersebut.
4. Bahagi dan Buat
Usahawan seperti Elon Musk juga mengamalkan konsep First Principle Thinking. Segala topik yang dirasakan sukar dan kompleks, akan dipecahkan kepada beberapa bahagian asas kemudian barulah dihadamkan secara berperingkat. Tak ada orang mampu makan tembikai dalam sekali telan. Tengok pun dah nampak mustahil. Tapi bila kita potong buahnya kepada beberapa bahagian yang kecil pastinya lebih mudah dimakan.
5. Pandu Uji
Jika kita akan menguji kereta sebelum di bawa pulang, sama juga dengan ilmu dan kemahiran. Kita perlu menguji diri sebelum ke topik seterusnya untuk memastikan kita benar-benar faham apa yang dipelajari. Ujian itu termasuk dari segi menghafal dan juga memahami segala konsep dan perkaitannya.
6. Maklum Balas
Kita sering menantikan maklum balas dari mesej dan socmed tetapi mengapa tidak dalam pembelajaran? Maklum balas dalam setiap topik yang dipelajari penting untuk memastikan latihan kita berkesan. Proses ini dipanggil deliberate practice dan diamalkan oleh ramai individu tersohor seperti Mark Minervini (Juara Trading Amerika Syarikat). Hanya dengan maklum balas atau feedback barulah kita tahu apa yang perlu ditambah baik dan sama ada kita semakin mahir.
7. Jangan Curah Air Ke Daun Keladi
Biasanya kita ada perkara yang mudah terlupa. Jangan biarkan! Lebih-lebih lagi jika perkara itu penting dalam bidang yang dipelajari. Tingkatkan proses latihan pada topik ini supaya kita tidak mempunyai lobang dalam ilmu yang dipelajari.
8. Gali dan Terus Gali
Jangan sekadar mempelajari apa yang anda mudah peroleh. Cari sebanyak mungkin input yang anda dalam setiap topik. Teroka sejarah, konsep, teori, implementasi, figura dan segala hubung kait yang ada supaya anda dapat belajar secara mendalam.
9. Tanya dan Terus Tanya
Selagi anda mempunyai soalan yang belum terjawab, maka anda belum selesai belajar. Jangan hadkan diri anda untuk bertanya soalan yang sudah ada jawapannya. Cuba fikirkan soalan yang belum pernah ditanya oleh orang lain dan cari jawapannya. Inilah kunci penguasaan dalam apa-apa bidang yang dipelajari.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!

Comments
Post a Comment