Tak Payah Baca Buku Tebal-Tebal, Anak Muda Hanya Perlu Elak 7 Kesilapan Kewangan
[Bacaan 5 Minit]
Dulu zaman belajar mungkin mak ayah yang beri duit poket setiap hari. Balik rumah pun pasti ada makanan walaupun sepinggan nasi dan telur goreng. Tapi bila dah habis belajar di sekolah dan pengajian tinggi, mula cari duit sendiri, kita sepatutnya bertanggungjawab 100% atas kewangan sendiri dan tak lagi harapkan Mak Ayah. Bahkan patut dah mula balas jasa Mak dan Ayah. Tapi, atas sebab kekurangan ilmu dan cabaran-cabaran masa kini ramai anak muda yang gagal laksanakan tanggungjawab masing-masing.
Jadi hari ni saya nak kongsikan 7 kesilapan yang anak muda perlu elak untuk urus kewangan dengan bijak tanpa baca buku tebal-tebal.
1. Tak Kira Cashflow (Sebab Takut Negatif)
Bagi yang tak tahupun cashflow tu apa, cashflow adalah aliran tunai kewangan anda. Secara mudahnya, berapa duit masuk, berapa duit keluar. Biasanya dikira secara bulanan sebab majoriti pendapatan kita (gaji) masuk secara bulanan.
Ramai yang tak kira cashflow sama ada tak tahu atau takut nak kira sebab hujung bulan mesti duit sempit atau tak cukup sampai berhutang. JANGAN BIARKAN. Kalau anda terus tutup sebelah mata sampai masa anda akan hadapi masalah lebih teruk. Boleh jadi hutang sedikit lama-lama membukit dan akhirnya JATUH BANKRAP. Mustahil? Dari 2018 hingga 2022 statistik menunjukkan seramai 10,148 anak muda berumur 34 tahun ke bawah dah jatuh bankrup. Jika anda tak tahu, status bankrup akan menyebabkan individu itu akan di blacklist dari segi pinjaman, passport hingga ke pekerjaan.
Kalau belum buat, mulakan hari ini. Tak perlu rumit. Tuliskan berapa duit masuk setiap bulan, dari semua sumber. Tuliskan berapa duit keluar setiap bulan dan ke mana ia dibelanjakan. Tolak duit masuk dan duit keluar. Jika jumlah negatif? Kurangkan sebanyak mungkin perbelanjaan sehingga jumlahnya kembali positif. Apa yang boleh dikurangkan? Mungkin anda selalu makan ditempat yang lebih mahal dari kemampuan. Mungkin bil telefon anda lebih mahal dari keperluan. Mungkin kereta atau motor anda lebih mahal dari keperluan.
Sebab itu lepas kira cashflow barulah seseorang itu sedar berapa sebenarnya kemampuan dia. Mungkin memulakan kehidupan harian dengan secawan kopi premium itu sebenarnya di luar kemampuan anda.
2. Tak Buat Bajet
Dah buat cashflow? Baik, sekarang kita buat bajet. Kenapa? Tanpa bajet kewangan, kita sukar untuk menjaga cashflow dengan baik secara konsisten. Mungkin bulan ni anda tak selalu makan di luar. Tapi bulan hadapan anda terlebih keluar hingga cashflow negatif. Dengan merancang bajet kewangan, perkara ini takkan berlaku sebab anda dah tahu berapa bajet makanan anda setiap bulan.
Tapi macam mana rupa bajet tu? Tak payah pening copy je contoh ni: -
Sewa Bilik = RM300
Bil Api & Air = RM50
Ansuran Motor = RM200
Petrol = RM100
Bil Telefon = RM50
Makan = RM500
Belanja Tahunan (Lesen, Road Tax, Service Motor) = RM100
Simpanan = RM200
Mak Ayah = RM100
Hiburan = RM100
Jumlah Keseluruhan: RM1600
Sikitnya bagi mak ayah? Kalau pakai kereta? Aku dah kahwin macam mana? Takaful mana Takaful?
Semua orang hidup tak sama, adjust lah mengikut kehidupan masing-masing.
3. Suka Berhutang
Ini satu lagi penyakit yang makin membarah zaman sekarang. Kalau dulu rumah dan kereta sahaja orang hutang. Kemudian datang pula perabot dan TV secara hutang. Sekarang ni telefon pun berhutang. JANGAN. Kepada majoriti anak muda, nasihat saya mudah sahaja. Selain; kereta, rumah dan pendidikan, tak ada benda lain yang patut dibeli secara hutang. Segala gadjet dan percutian di Instagram dengan hutang member itu hanyalah nafsu semata. Hutang itu bermaksud anda TAK MAMPU. Bila anda berbelanja di luar kemampuan di situlah mulanya penyakit kewangan. Jadi tak boleh beli apa-apa ke? Boleh beli tapi simpan dulu sampai cukup barulah beli. Lamalah macam tu? Ya, dah kau miskin lambat lah dapatnya tapi setidaknya hidup kau tenang tanpa hutang. Tak kena call banyak kali. Tak kena viral di socmed. Banker tak tarik kereta/motor anda. Api dan air di rumah tak kena potong. Barulah boleh fokus untuk tambah pendapatan.
Jangan berhutang selain dari kereta, rumah dan pendidikan. Kereta dan rumah itupun mengikut kemampuan. Bukan orang lain bawak H, kita pun nak H juga. Belajar cari kepuasan mengikut kemampuan. Banyak lagi hiburan yang murah dan percuma.
4. Tak Usaha Naikkan Income
Dah kira cashflow dan buat bajet pun masih tak cukup lagi? Ya, itulah cabaran bagi anak muda sekarang. Barang makin mahal, gaji tak naik-naik. Jadi nak buat apa? Marah boss? Meroyan di socmed? Bukan tak boleh complain tapi percayalah anda complain 10 kali pun boss takkan senang-senang nak naikkan gaji melainkan anda bekerja di Megah Holding dan boss itu adalah Papa anda.
Jika anda dah sedar realiti ni, alihkan tenaga anda untuk naikkan income. Bagaimana? Sama ada anda mula kerja secara sambilan, buat perniagaan sendiri atau usaha naikkan gaji.
Nak kerja sambilan? Grab, Foodpanda dan banyak lagi sebenarnya pilihan yang ada. Nak berniaga tapi tak ada modal? Banyak sangat model perniagaan tanpa modal sekarang seperti program Dropship dan Affliates. Bagaimana nak naikkan gaji? Kerja lebih produktif dan efektif. Dah belajar untuk tingkatkan kemahiran dan usaha sungguh-sungguh tapi boss masih degil? Maknanya anda di tempat yang salah. Pergi update resume dan cari tempat yang baru. Jika anda benar-benar mempunyai kualiti, pasti ada syarikat yang mahukan kemahiran anda dan sanggup bayar dengan setimpal.
5. Tak Menyimpan Untuk Persaraan
Tak ramai yang nak sebut tentang persaraan sebab fikir "aku muda lagi". Masa anda sekolah rendah pun anda tak terfikir masuk ke alam pekerjaan tapi masa akan tetap berjalan. Purata usia rakyat Malaysia adalah hingga umur 75 tahun. Kalau anda tahu anda akan mati sebelum umur persaraan, sila abaikan tulisan ini. Tapi kalau anda tak tahu, sila buat persediaan.
Tahu tak kalau anda mula menyimpan RM300 pada umur 25 tahun, anda akan dapat pulangan RM414,000 pada usia 60 tahun. tetapi jika anda hanya mula menyimpan pada umur 35 tahun, anda agak berapa pulangannya ketika usia 60 tahun? RM300,000? RM270,000? Jawapannya RM203,000 sahaja
(Kiraan ini dengan kadar dividen tahunan sebanyak 6%)
Tapi umur aku dah lebih 25? Jadi nak lewatkan lagi ke? Buatlah harini. Mulakan ikut kemampuan masing-masing.
Tapi KWSP kan dah ada? Purata KWSP rakyat Malaysia selepas bersara RM200,000. Anda nak hidup lepas bersara umur 60 hingga 75 tahun bermakna ada 15 tahun lagi nak hidup. RM200,000 jika dibahagikan secara bulanan untuk tempoh 15 tahun anda tahu tinggal berapa? RM1,100 sebulan. Cukup? Anda rasa Nasi Lemak lagi 30 tahun harganya masih RM4-5?
6. Tak Bayar Cukai
Bagi tahun 2022 Individu berpendapatan tahunan lebih RM35,000 wajib membayar cukai. Kalau tak bayar? Bersedia untuk dikenakan denda hingga RM50,000.
Kadar ini berubah setiap tahun jadi sebaiknya buat semakan secara tahunan. Mungkin sekarang anda belum layak membayar cukai tapi satu hari nanti mungkin pendapatan anda dah bertambah dan masuk dalam kategori yang wajib membayar cukai. Buat persediaan awal untuk elak didenda.
7. Tak Bayar Zakat
Mungkin bayar cukai ni kena kejar dengan pegawai hasil cukai dan boleh didenda nampak lebih menakutkan. Tapi sebenarnya lebih menakutkan jika tak bayar zakat sebab tak diugut dengan denda tapi api neraka. Kalau harta tak berkat dan tak disucikan dengan zakat, percayalah hidup kita akan jadi sempit walaupun banyak harta. Kalau rasa selesa pun hanya sementara sebelum jasad masuk ke tanah.
Jangan lupakan tanggungjawab menunaikan zakat. Zakat bukan fitrah sahaja di pagi Raya RM7 tu. Tapi juga Zakat Pendapatan dan Zakat Simpanan yang perlu dibayar setiap tahun. Ini yang ramai terlepas pandang dan ditinggalkan saban tahun. Macam mana nak kira? Google sahaja laman web lembaga zakat negeri masing-masing ada kalkulator untuk buat pengiraan secara online.
Jika anda boleh jaga diri dari 7 kesilapan ini percayalah anda tak perlu pun baca buku kewangan tebal-tebal dah boleh jaga kewangan dengan baik. Bukan tak galakkan membaca tetapi sekadar memberi gambaran asas dengan lebih mudah. Teruskanlah membaca untuk faham lebih mendalam dan terperinci.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!
Comments
Post a Comment