17 Nasihat Kerjaya Untuk Anak Muda

 


[Bacaan 7 Minit]

Anak muda yang baru masuk alam kerjaya kadang tak tahu nak buat apa. Masuk kerja, balik kerja dengan harapan sampai masa dapatlah posisi yang lebih tinggi. Tidak. Hanya organisasi yang tidak kompeten sahaja yang mengamalkan konsep itu. Sebaliknya organisasi yang hebat hanya akan megutamakan dan memberi peluang kepada mereka yang hebat. Jadi ini nasihat-nasihat untuk anak muda yang baru bermula dalam kerjaya.


1. Bina Lembaga Penasihat

Eh dah macam bina syarikat je? Tak, lembaga penasihat ini bukan untuk syarikat tapi untuk kerjaya anda. Ketika awal fasa kerjaya pastikan anda mempunyai beberapa individu yang boleh berikan pendapat dan nasihat yang baik tentang kerjaya anda. Boleh jadi majikan anda sendiri, rakan sekerja, senior anda, bekas majikan dan kawan yang anda percayai.


2. Selesaikan Masalah Majikan

Semua tujuan asas bekerja adalah untuk selesaikan masalah. Jika anda nak meroket kan kerjaya cuba kenal pasti apa masalah utama yang majikan anda hadapi? Semakin besar masalah yang anda selesaikan semakin besar ganjarannya. Mula dengan masalah yang lebih kecil.


3. Kembangkan Bulatan Sosial (Networking)

Semakin besar bulatan sosial anda semakin banyak kelebihan anda dapat. Sama ada dari segi informasi, ilmu dan juga peluang. Jangan hadkan bulatan sosial anda dalam bidang dan lingkungan umur yang sama sahaja sebaiknya luaskan. Macam Cable je? Tidak. Inilah networking. Bezanya networking memudahkan anda dapat peluang jika anda layak, Cable pula meletakkan sesiapa sahaja walaupun tidak layak dan kompeten.


4. Belajar Menjual

Untuk berjaya ada dua cara. Sama ada perlu pandai membina atau menjual. Kebanyakan orang sebenarnya perlu belajar menjual tetapi tak semua orang jual barang. Boleh jadi anda menjual kemahiran. Kemahiran itulah yang dibeli oleh syarikat anda. Jadi belajar untuk menjual dengan lebih baik untuk mendapatkan keuintungan yang lebih baik.


5. Elakkan Membanding

Dalam fasa awal kerjaya memang kita akan rasa ingin membandingkan dengan orang sekeliling seperti rakan di Universiti dan mereka yang dalam lingkungan umur yang sama. Lupakan semua itu. Membandingkan hanya akan mengganggu emosi dan fokus anda. Ketahuilah setiap daripada kita mempunyai perjalanan hidup dan kejayaan yang berbeza. Fokus pada hidup anda sendiri.


6. Utamakan Pengalaman Berbanding Gaji

Wang adalah insentif yang sangat bernilai tetapi hanya pengalaman yang mampu membeli masa depan. Dalam fasa awal kerjaya utamakan posisi yang mampu memberi anda lebih pengalaman berbanding wang. Bukanlah wang itu tak penting tetapi peluang untuk mendapatkan kemahiran dan pengalaman itu juga sangat bernilai tetapi hanya mampu dilihat nilainya pada masa depan.


7. Belajar Buat Silap 

Mustahil anda tak buat silap ketika fasa awal kerjaya. Bahkan mereka yang berpengalaman juga terdedah dengan kesilapan. Apa yang lebih penting adalah anda bertanggungjawab atas kesilapan yang dibuat. Belajar dari kesilapan supaya tak mengulanginya. Berani untuk terus mencuba walaupun berpotensi untuk melakukan kesilapan.


8. Pasang Telinga

Anak muda jangan menyorok di dalam gua dan berada dalam dunia sendiri. Pastikan setiap peluang yang ada anda dengarkan perbincangan tentang hal-hal kerja walaupun di luar bidang sendiri. Ilmu inilah yang memberikan anda kelebihan berbanding orang lain kerana untuk berada di atas anda harus peka dengan semua yang berlaku di bawah.


9. Konsep 'T' Dalam Ilmu & Kemahiran 

Konsep 'T' bermaksud anda perlu menguasai asas dalam setiap aspek ilmu yang ada di samping mempunyai penguasaan yang tinggi dalam 2,3 ilmu dan kemahiran yang khusus. Konsep 'T' inilah yang akan membentuk anda sebagai seseorang yang boleh dipercayai dan diberi tanggungjawab yang lebih besar.


10. Utamakan Kemanusiaan

Dalam apa-apa bidang sekalipun aspek kemanusiaan adalah sangat penting. Anda tak dituntut untuk mengipas sesiapa tetapi semua orang termasuk diri anda sendiri pasti menyukai orang yang baik dalam perhubungan dan memberikan hormat dalam komunikasi.


11. Katakan 'Ya' Kepada Peluang

Tidak kurang mereka yang berpandangan kerja hanyalah sekadar yang diberi ganjaran tetapi ketika fasa awal kerjaya sebaiknya anda menjadi lebih terbuka terhadap peluang. Kebanyakan mereka yang berjaya melonjakkan kerjaya bukanlah orang yang suka duduk di tempat yang sama tetapi mereka yang berani dan banyak mengambil peluang. Mungkin ganjarannya tidak dilihat secepat mungkin tetapi masa depan dibina melalui usaha hari ini, bukan esok hari.


12. Work Hard, Baru Work Smart

Ramai yang dah biasa dengan ungkapan work smart atau kerja dengan bijak. Tetapi, ramai juga yang terlepas pandang bahawa hanya dengan kerja yang bersungguh-sungguh barulah seseorang mempunyai ilmu dan kemahiran untuk kerja dengan lebih bijak. Tiada jalan pintas untuk berjaya.


13. Kenali Zon Genius Diri Sendiri (Find your edge)

Ketika fasa awal kerjaya cuba untuk kenal pasti 3 perkara. Apakah minat anda? Apakah yang anda mahir? Apakah peluang besar yang ada? Jika anda mampu gabungkan ketiga-tiga aspek ini akan akan berada dalam Zon Genius yang mana anda akan mampu hasilkan kerja yang terbaik. Dengan hasil kerja yang terbaik pastinya anda akan memperoleh ganjaran yang terbaik. 


14. Kerja Untuk Hari Ini, Bina Untuk Hari Esok

Menguasai kerja hari ini memang penting. Tetapi mempersiapkan diri anda untuk masa depan juga penting. Pastikan anda membina kemahiran bukan sahaja untuk hari ini tetapi yang akan membuka peluang lebih besar pada esok hari.


15. Utamakan Perjalanan, Bukan Destinasi

Mempunyai matlamat yang jelas itu bagus. Tetapi hanya mereka yang benar-benar seronok dengan perjalanan membina diri dan kerjaya yang akan mampu teruskan perjalanan. Ini kerana kebanyakan kejayaan akan mengambil masa yang panjang. Jika anda tidak seronok dalam perjalanan anda akan mudah untuk berputus asa.


16. Lupakan Multitask, Kerja Fokus

Jika sebelum ini anda banyak disyorkan dengan kaedah kerja multitask (lebih dari satu kerja dalam satu masa) nasihat saya tinggalkanlah. Kaedah multitask akan mengurangkan hasil kerja apabila keupayaan untuk fokus dibahagikan untuk tugasan-tugasan yang berbeza. Kekurangan hasil kerja ini dipanggil "context switching loss". Sebagai contoh, cuba anda sebut dengan pantas,

12345abcde dan 1a2b3c4d5e. Yang mana lebih laju?

Mencampurkan tugasan yang berbeza dalam satu masa akan melambatkan keupayaan berfikir dan mengurangkan hasil kerja.

Kaedah yang lebih baik adalah dengan membina kebolehan fokus yang lebih baik. Semakin lama anda mampu fokus semakin banyak kerja yang anda dapat selesaikan dengan kualiti kerja yang lebih baik.


17. Kongsikan Kejayaan

Jika tadi anda disarankan untuk bertanggungjawab terhadap kesilapan, kali ini nak bagitahu anda juga harus mengambil kredit atas kejayaan anda. Perkara ini bukanlah untuk berlaku sombong dan sebagainya tetapi untuk memastikan majikan anda tahu bahawa keputusan mereka memilih anda adalah tepat kerana anda membawa kejayaan dalam organisasi. 

Jika anda nak tahu teknik-teknik komunikasi efektik ketika bekerja boleh baca di sini


Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.

Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah



Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:- 

https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517

Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!


Comments

Popular posts from this blog

3 Tips Memanfaatkan Penggunaan Twitter

5 Kesilapan Dalam Kerjaya Yang Kita Buat Tanpa Sedar

Malas Baca Buku Kewangan? Ini 9 Cara Fikir Yang Akan Mengubah Kewangan Anda