4 Latihan Minda Untuk Menjadi Pemikir Yang Hebat
Berfikir adalah salah satu kemahiran penting bagi manusia sejak dari sejarah awal tamadun manusia. Melalui berfikirlah lahirnya ciptaan terhebat manusia seperti roda, lampu elektrik, kenderaan petrol, internet, vaksin dan iPhone 13 Pro. Sehingga hari ini ia masih menjadi alat utama kejayaan sesebuah masyarakat mahupun di peringkat individu. Jadi hari ini saya nak kongsikan 4 latihan yang boleh membantu anda menjadi pemikir yang hebat!
1. Berani untuk bersendirian dengan fikiran sendiri
Zaman ini adalah zaman informasi. Dulu kalau nak tahu berita semasa kena singgah gerai Uncle Muthu nak beli surat khabar Berita Harian, Kosmo, NST dan lain-lain. Nak tengok Arsenal nombor berapa dalam table kena selak muka surat belakang sekali sebab Manchester dah confirm nombor satu (masa tu lah). Nak tengok movie apa ada hari jumaat malam pula kena selak rancangan TV di bahagian tengah. Tapi zaman sekarang bangun pagi bukak telefon sahaja dah penuh maklumat.
Bangun pagi telefon di tangan. Masuk kerja menghadap komputer pula. Balik rumah sambung semula dengan telefon. Kadang tengah memandu pun masih lagi dengan telefon. Agaknya dalam sehari berapa jam kita tak pegang telefon/komputer selain masa mandi dan tidur? Kalau yang bersukan tu syukurlah ada masa berjauhan. Tapi, berapa masa yang kita peruntukkan khusus untuk berfikir? Jadi tolak masa bersukan tadi tinggal berapa jam? minit? Boleh kata majoriti hampir tiada yang luangkan masa khusus untuk berfikir.
Bersendirian dengan pemikiran anda mampu memberikan ketenangan minda dan percambahan idea. Ketika inilah minda anda bebas menerokai dan memproses segala ilmu dan maklumat yang ada dalam kepala. Ramai tokoh ternama seperti Mark Twain, Woody Allen dan J.K. Rowling menghabiskan masa sendirian apabila menghasilkan karya mereka. J.K. Rowling sebagai contoh tidak mempunyai akaun media sosial hinggalah krew beliau sendiri yang tolong buatkan. Sebagai latihan pertama cuba luangkan 30 minit sehari untuk berfikir. Tak semestinya perlu berkurung di bilik boleh juga sambil berjalan tetapi bukan ketika aktiviti berat seperti berlari. Selain itu anda boleh cuba untuk memandu tanpa membuka radio dan belajar berseorangan dengan fikiran anda.
2. Pemikiran Pengguna VS Pemikiran Pengeluar
Secara hakikatnya kita semua adalah pengguna. Pengguna kepada sesuatu produk atau servis. Begitu juga kita adalah pengeluar. Sama ada kita keluarkan sesuatu produk atau khidmat. Situasi ini juga berlaku pada peringkat pemikiran. Tetapi kebanyakan daripada kita hanya memikiran sesuatu perkara dalam kerangka pemikir sebagai seorang pengguna. Sebahagian kecil sahaja berfikir sebagai seorang pengeluar. Inilah perkara yang boleh kita praktikkan.
Mula berfikir sebagai pengeluar. Bila anda masuk ke satu kedai, lihat apa yang anda suka. Apa yang membuat anda tertarik untuk membeli. Cuba fikirkan bagaimana mereka boleh menarik minat anda untuk membeli. Mungkin sebelum anda pergi ke kedai lagi dah nampak produk atau jenamanya. Di dalam kedai pula bagaimana mereka buat tawaran kepada anda. Cuba fikirkan pula jika anda sebagai pengeluar bagaimana pula anda akan menjalankan operasi di kedai tersebut.
Latihan ini tidak semestinya berlaku di kedai. Boleh jadi di taman rekreasi anda melihat sesuatu yang mungkin boleh ditawarkan kepada orang ramai. Begitu juga di media sosial. Latihkan diri anda untuk mula melihat dari kaca mata seorang pengeluar.
3. Formula 80/20
Walaupun Max Verstappen baru sahaja mengalahkan Louis Hamiltan pada Grand Prix yang lepas formula ini bukan berkaitan dengan perlumbaan di litar. Tetapi formula ini boleh digunakan untuk perlumbaan di lembah kehidupan.
Formula 80/20 adalah satu formula yang ditemui oleh seorang ahli ekonomi Itali, Vilfredo Pareto. Formula ini telah digunakan dan diterjemahkan juga dalam pelbagai bidang. Tetapi untuk topik kita kali ini Formula 80/20 yang ingin dikongsikan adalah bagaimana untuk memperoleh 80% impak melalui 20% usaha. Inilah salah satu latihan minda yang boleh anda gunakan. Cuba fikirkan bagaimana untuk tambah baik sesuatu perkara yang memberi impak tinggi (80%) dengan usaha yang minima (20%). Latihan ini akan membantu anda mengeluarkan hasil kerja yang efisyen dan berimpak tinggi.
4. Versi Yang Terbaik
Pernah tak anda nampak sesuatu yang jelek bila pergi ke sesuatu tempat? Mungkin anda nampak sampah yang bersepah di taman, jalanraya yang berlubang atau pekerja yang sombong di kedai Machine IOI Perlis (Elak kena saman). Cuba anda fikirkan apakah keadaan yang paling ideal terhadap tempat tu. Mungkin di kedai makan anda mahukan pekerja yang sopan, menu yang enak, parking yang mudah, persekitaran yang bersih, selesa dan instagrammable. Latih diri anda untuk fikirkan apakah situasi atau keadaan yang paling ideal. Versi yang paling sempurna anda boleh fikirkan.
Latihan ini akan membantu anda berfikir jauh. Berfikir dalam skop yang lebih luas. Secara tak langsung meningkatkan kebolehan untuk menyelesaikan masalah yang dahulunya anda rasakan rumit kini mampu dilihat dengan lebih jelas. Cara fikir begini penting untuk maju kehadapan kerana masa depan dicipta oleh mereka yang mampu berfikir jauh ke hadapan, bukan mereka yang pemikirannya terikat dengan masa lampau.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!
Comments
Post a Comment