5 Cara Pasang Matlamat Lebih Berkesan (Cara ke-2 jarang yang buat)
Dah masuk hujung tahun ni mesti ada sesuatu yang selalu kedengaran. Betul tu! Year End Sale! Ehh bukan bukan...Azam Tahun Baru. Ya, kali ini saya nak kongsikan tentang azam tahun baru.
Penting ke azam atau matlamat ni? Jawapan yang paling orang tak suka tetapi paling tepat adalah, "Terpulang". Suka atau tak biasanya memang jawapan inilah yang paling tepat sebab kita semua berbeza. Ada selera masing-masing. Ada cara masing-masing. Azam atau matlamat sememangnya boleh menjadi pendorong semangat bila kita melakukan sesuatu pekerjaan. Tak kira dari sudut kerjaya mahupun rumahtangga.
Bagi mereka yang tidak selesa meletakkan azam, teruskan cara anda jika cara itu lebih mendatangkan kejayaan. Bagi mereka yang suka atau masih menaruh harapan dengan kaedah meletakkan azam walaupun sebelum ini selalu terkandas di lembah kedukaan, cuba 5 cara ini untuk pasang matlamat dengan lebih berkesan.
1. Variasi dan Segmentasi
Hidup kita ini biasanya merangkumi beberapa aspek seperti Akademik bagi yang masih belajar secara formal, Kerjaya bagi yang sudah bekerja, Kewangan, Kesihatan, Keluarga dan pelbagai lagi. Jadi langkah pertama sebelum pasang matlamat adalah senaraikan setiap aspek yang anda ingin berjaya dan pastikan setiap satu mempunyai sekurang-kurangnya satu matlamat.
Bila anda mempunyai senarai matlamat yang lebih tersusun anda akan lebih mudah untuk melihat matlamat anda secara menyeluruh. Matlamat yang pelbagai juga akan membuka ruang kepada anda untuk mencapai setidaknya satu atau lebih matlamat berbanding jika anda mempunyai satu matlamat yang tunggal sahaja.
2. Input-Based vs Output-based
Ramai yang selalu salah faham apabila mereka menetapkan matlamat. Hakikatnya, kita selalu terlepas pandang tentang realiti kehidupan yakni ada perkara dalam kawalan kita dan ada juga diluar kawalan kita. Sebagai contoh mudah, ramai yang letak matlamat ingin kurus/sihat.
Kurus atau sihat itu adalah output-based/hasil. Matlamat ingin kurus itu tak salah tetapi matlamat yang lebih berkesan adalah menetapkan perbuatan dalam kawalan kita yang boleh mendapatkan hasil itu tadi. Sebagai contoh, tukar matlamat ingin kurus (Output) tadi dengan matlamat ingin bersukan 3 kali seminggu selama 30 minit (Input). Mulakan matlamat anda dengan kata kerja.
Matlamat berbentuk Input ini adalah lebih berkesan kerana kita boleh ukur pencapaian kita dengan lebih kerap dan jelas berbanding matlamat berbentuk Output yakni kurus itu tadi yang lebih samar untuk dinilai. Sama juga mereka yang pasang matlamat ingin "kaya" boleh tukar kepada berapa jumlah yang perlu disimpan/dilabur sebulan dan sebagainya.
3. Pelan Pelaksanaan Matlamat
Langkah seterusnya adalah memastikan setiap matlamat anda mempunyai satu pelan perancangan yang jelas. Sebagai contoh anda nak kumpul RM10,000. Anda seharusnya tahu bagaimana anda nak kumpulkan jumlah itu. Bila tempoh masa untuk capai matlamat? Berapa yang perlu disimpan setiap bulan? Cukupkah simpan dengan gaji hakiki? Berapa perlu berjimat untuk simpan sebanyak itu? Perlu tak cari pendapatan sampingan? Pendapatan sampingan nak buat apa?
Begitulah seterusnya. Lebih teliti anda rancang lebih cerah peluang untuk anda capai matlamat. Dan demi sesungguhnya hanya mereka yang benar-benar serius dengan matlamat akan buat perancangan dengan teliti. Begitulah sebaliknya mereka yang tidak serius hanya sekadar omong kosong yang akan dikitar semula.
4. Kahwinkan Matlamat dan Masa
Ya, matlamat perlu dikahwinkan dengan masa. Matlamat ini tidak terikat dengan tahun baru sahaja. Mulakan untuk memasang matlamat mengikut garis masa. Sebagai contoh matlamat harian, mingguan, bulanan, tahunan, 5 tahun, 10 tahun hingga 15 tahun.
Matlamat pada garis masa yang pendek seperti harian dan mingguan adalah matlamat kecil tetapi akan menjadi penyumbang besar dalam kejayaan anda. Contohnya baca buku 5 muka sehari. Matlamat pada garis masa panjang seperti 5 tahun dan 10 tahun adalah ruang untuk anda bercita-cita besar. Hadamkan satu kata pepatah ini,
"Human overestimate what they can do in one year, but underestimate what they can do in 5 years".
Jurang 1 tahun mungkin tidak kelihatan terlalu berbeza dalam kehidupan seseorang tetapi jurang 5 tahun mampu mengubah kehidupan seseorang.
5. Realistik
Cara yang terakhir adalah dengan memastikan matlamat anda adalah realistik dengan situasi semasa anda sendiri. Sebolehnya kita semua memang ingin kaya dan berjaya dan macam-macam lagi. Bukan bermaksud kita tak boleh capai semua itu tetapi perlulah realistik dari segi kadar dan masanya. Contohnya jika tahun lepas anda ada kurang dari RM10,000 mungkin tahun depan belum realistik untuk anda capai RM1 Juta. Boleh sahaja anda sasarkan RM20,000, RM50,000 bahkan hingga RM100,000 jika anda betul-betul bersungguh. Mungkin RM1 Juta itu boleh dicapai dalam tempoh 3-5 tahun sahaja dengan kesungguhan dan disiplin anda. Tetapi jika dicapai dalam masa 10 tahun pun apa salahnya.
80% Kekayaan Warren Buffet sendiri datang selepas hari jadinya ke-60. Kolonel Sanders yang anda mentekedarah ayamnya mula berjaya dalam perniagaan ketika umur 60-an. Tidaklah saya menyuruh anda untuk enjoy sampai umur 60-an kerana hakikatnya mereka juga sudah berusaha jauh lebih awal dari itu. Tetapi sekadar peringatan anda tidak berlumba dengan sesiapa melainkan kemahuan anda sendiri.
Asalkan anda tak hidup dengan penyesalan dan bahagia itulah matlamatnya.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!
Comments
Post a Comment