Hidup Serabut? Ini Panduan Untuk Peroleh Ketenangan Dalam Hidup
Sepanjang hidup anda sampai ke hari ini agaknya berapa kali anda pernah berjanji? Berapa kali pula anda mengotakan janji? Jangan risau saya bukan nak tanya janji-janji manis yang anda pernah buat bersama ex dahulu tetapi hari ni saya nak kongsikan 4 perjanjian yang anda boleh buat terhadap diri sendiri untuk mengubah realiti kehidupan anda 180 darjah (lebih baik).
1. Bertanggungjawab Terhadap Kata-Kata
Kata-kata adalah senjata paling ampuh bagi setiap manusia. Apabila seseorang menjaga kata-katanya dengan penuh tanggungjawab sebagai contoh mengotakan setiap janjinya dia akan menambah keyakinan orang di sekeliling terhadapnya dirinya. Orang beginilah yang ada kredibiliti. Orang yang berkredibiliti pula akan diberi kepercayaan. Kepercayaan inilah yang menjadi tangga kepada orang yang berjaya sama ada dalam karier ataupun hubungan sosial.
Anda sendiri jika nak berharap kepada seseorang akan memilih orang yang selalu tunai janji atau spesies janji tinggal janji?
Orang yang bertanggungjawab terhadap kata-kata juga tidak akan membazirkannya dengan gossip dan umpatan. Aktiviti ini hanya dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab terhadap kata-katanya. Segala kerosakan yang dibawa juga akan dicampak terhadap orang lain. Jangan jadi orang seperti ini. Gunakan kata-kata anda untuk kebenaran dan menyemai kebaikan. Barulah anda jadi seorang yang bertanggungjawab terhadap kata-kata.
2. Jangan Terima Semua Perkara Secara Peribadi
Apabila anda menerima atau menghadapi sesuatu perkara, jangan terus terima perkara itu sebagai isu peribadi anda. Kebanyakan perkara yang dilakukan oleh orang lain tidak berkait pun dengan diri anda. Mereka hanya melakukan sesuatu perkara berdasarkan realiti yang mereka hadapi.
Apabila anda ditegur, tak perlu terima teguran itu sebagai kritikan peribadi sebaliknya hanyalah apa yang mereka lihat dari tindakan luaran. Anda lebih tahu peribadi anda bagaimana. Apabila anda dimarahi, tak perlu ambil hati kerana mungkin mereka marah kerana masalah peribadi dalam hidup mereka dan anda hanyalah bayangan daripada masalah sebenar mereka.
Jika anda berjaya memisahkan hal peribadi dengan segala isu luaran ini anda akan mula melihat dunia dengan lebih tenang. Jiwa anda akan lebih tenteram dari kekusutan perkara yang tiada keperluan atau kaitan dengan kehidupan peribadi anda.
3. Jangan Bersangka
Perjanjian ketiga ini cukup penting kerana ramai orang yang terperangkap dengan masalah ini walaupun isu yang berlaku selalunya adalah kecil. Bila anda tak tahu atau tak pasti dengan satu perkara, tanyalah kepada individu yang sepatutnya. Cukup mudah. Tetapi ramai yang gagal dan memilih jalan untuk bersangka sedangkan begitu banyak masalah yang sering timbul bila kita mula bermain dengan prasangka.
Mengapa pilih jalan yang susah lagi menyusahkan? Pilih yang mudah. Tanya sajalah.
Jika anda inginkan sesuatu, katakan secara jelas. Tak perlu berbunga dan pastikan maklumatnya lengkap. Cara ini saja sudah mampu menyelamatkan kehidupan anda dari pelbagai drama yang berulang-ulang episodnya. Jangan bazirkan emosi anda dengan menempah jalan kepada situasi yang memenatkan.
4. Sentiasa Melakukan Yang Terbaik
Sentiasa melakukan yang terbaik? Ya, sentiasa melakukan yang terbaik. Lepas ni anda ulang lagi kata-kata ini. Nak kata betapa pentingnya SENTIASA MELAKUKAN YANG TERBAIK dalam hidup anda. Kenapa? Sebab satu-satunya alasan untuk merasa rendah diri adalah apabila seseorang itu tidak melakukan yang terbaik untuk dirinya. Bila anda melunaskan tanggungjawab terhadap diri sendiri untuk melakukan yang terbaik maka tiada lagi alasan untuk diri anda menyalahkan anda lagi. Inilah kunci terhadap inner peace.
Tunggu dulu! jangan pukul jiwa anda kerana yang 'terbaik' itu tidak sebesar dan seberat dunia dan isinya seperti anda bayangkan. Kerana yang 'terbaik' daripada diri kita tidak sama dengan orang lain. 100% orang lain dan 100% anda tidak sama. Bahkan 100% anda hari ini dan 100% anda semalam juga berbeza. Kalau anda boleh berlari 10km ketika sihat tak mungkin anda masih boleh berlari 10km ketika demam. Buatlah yang terbaik ANDA, bukan orang lain.
Usahakan untuk berjanji terhadap diri anda dengan 4 perkara ini dan lihatlah hidup anda berubah sedikit demi sedikit. Ingat ya, usahakan sebaik yang anda boleh. Bukan sebaik yang Siti dan Ali boleh.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!

Comments
Post a Comment