Kad Kredit, Kawan Atau Lawan?
Beberapa hari yang lepas ada kawan saya bertanya, "ada tulis pasal credit card?" Jawabnya haa saya tengah tulis la ni. Kad kredit sememangnya salah satu topik besar dalam pengurusan kewangan. Lebih-lebih lagi mereka yang baru masuk alam pekerjaan dan mula nak merasa swipe-swipe kad tanpa tolak duit bank. Jadi hari ni saya nak kongsikan potensi kebaikan dan keburukan yang hadir dengan kad kredit.
Kebaikan Kad Kredit
1. Kecemasan
Kad kredit boleh berfungsi sebagai kecemasan sekiranya anda tiada/tak cukup wang dalam akaun semasa. Mungkin duit anda semua dalam ASB, nak dikeluarkan pula ambil masa jadi kad kredit adalah alternatif yang ada. Situasi ini biasanya terjadi bila berlaku kemalangan atau ketika ingin mendapatkan rawatan di hospital dan anda terpaksa dahulukan duit sendiri sebelum dapat claim dari syarikat takaful.
2. Skor Kredit (Credit Score)
Jika anda nak buat sesuatu pinjaman besar dari Bank misalnya pinjaman perumahan, Bank akan melihat skor kredit anda sebelum meluluskan pinjaman. Bukan sahaja mereka yang mempunyai skor kredit yang buruk (kerana culas bayar pinjaman) tetapi mereka yang tiada rekod skor kredit juga sukar untuk lulus pinjaman. Ini kerana Bank tak tahu nak nilai sikap anda kerana tiada rekod yang boleh dirujuk.
Oleh itu, penggunaan kad kredit membantu anda membina skor kredit yang baik (dengan syarat anda bayar on time). Skor kredit yang baik bukan sahaja memudahkan kelulusan permohonan pinjaman anda tetapi juga memberi peluang yang cerah untuk anda mendapat interest/profit rate yang lebih rendah dalam pinjaman. (Interest Rate = Bunga, Bank Konvensional) (Profit Rate = Kadar keuntungan, Bank Syariah)
3. Mata Ganjaran (Points)
Ini antara kelebihan utama kad kredit. Beli barang macam biasa (guna kad kredit) dapat mata ganjaran. Mata ganjaran ini kemudiannya boleh ditukar kepada voucher makanan, tiket penerbangan dan lain-lain bergantung kepada kad kredit yang dipohon (Boleh rujuk pada terma dan syarat kredit kad yang dipohon).
4. Ganjaran Wang (Cashback)
Lebih kurang macam mata ganjaran tadi tapi lagi best. Beli barang macam biasa (guna kad kredit) dapat cashback 5% atau 3% (contoh). Cuma kebiasaannya benefits cashback ni ada syarat-syarat tertentu contoh cashback untuk pembelian petrol sahaja atau kedai tertentu sahaja atau pada hari tertentu sahaja (hujung minggu). Cashback juga kebiasaannya ada limit contohnya RM50 sebulan.
Tetapi dengan limit RM50 sekalipun jika anda konsisten peroleh cashback setiap bulan, dalam setahun (12 bulan) anda akan terima cashback sehingga RM600!
5. Universal Acceptance
Kad kredit ini boleh dikatakan diterima hampir seluruh tempat di seluruh dunia. Untuk kaki travel ini adalah kelebihan untuk anda. Walaubagaimanapun perlu diketahui kadar pertukaran mungkin lebih tinggi jika di luar negara. Sentiasa rujuk terma dan syarat kad kredit anda.
6. Reverse Charge
Ini adalah kelebihan dari aspek keselamatan pengguna kad kredit. Jika kad anda hilang atau dicuri, anda boleh membuat permohonan reverse charge (dengan melalui prosedur tertentu) terhadap pihak Bank. Pihak Bank akan memadamkan segala transaksi yang berlaku selepas kad kredit itu dicuri.
7. Tak Pegang Duit
Satu lagi aspek keselamatan adalah anda tak perlu lagi pegang duit. Kalau nak beli iPhone 14 Pro berharga RM5000 tak ke bahaya kalau anda bawa cash?
8. Easy Payment Plan (EPP)
Ini adalah satu skim khas untuk pengguna kad kredit. Bagi kedai-kedai yang menyertai program EPP ini bersama bank, mereka akan menyediakan skim EPP jika anda nak beli barang-barang mereka. Sebagai contoh anda nak beli mesin basuh RM6000, skim EPP membolehkan anda membuat bayaran secara ansuran TANPA INTEREST dalam tempoh setahun (bergantung pada terma). Ini bermakna anda hanya perlu membayar RM500 setiap bulan selama 12 bulan. Tanpa skim EPP cas kredit kad biasanya ditangguh dalam tempoh sebulan sahaja.
Kenapa guna skim EPP berbanding bayar cash? Kerana mungkin duit RM6000 tadi boleh disimpan dalam instrumen pelaburan seperti ASB. Hujung tahun anda dapat dividen 5% (contoh). Jika anda bayar secara cash maka anda tidak akan dapat pulangan 5% tadi.
Inilah kelebihan-kelebihan menggunakan kad kredit.
Semua baik je? Mestilah tidak. Ini pula potensi keburukan-keburukan yang hadir dengan kad kredit
Keburukan Kad Kredit
1. Interest Tinggi
Interest/Profit Rate kad kredit merupakan kadar caj pinjaman yang tertinggi antara produk-produk pinjaman Bank yang ada (tak termasuk Along). Sekiranya anda lambat bayar dari tempoh yang diberikan baki pinjaman anda dalam statement akan dikenakan caj sehingga 18%!
Sebagai perbandingan interest/profit rate pinjaman rumah hanyalah dalam 4% sahaja.
2. Blacklist
Kalau dah tak bayar, mestilah ada akibatnya. Dalam kes ini jika anda lewat lebih dari had yang ditetapkan atau tak bayar kadar minima nama anda akan disenarai hitamkan (Blacklist). Kalau dah Blacklist anda hampir mustahil untuk membuat pinjaman pada mana-mana Bank sekalipun bahkan berisiko untuk dikenakan tindakan Mahkamah!
3. Benefits Boleh Ubah
Ingat lagi tentang mata ganjaran dan cashback? Maaf nak beritahu tetapi manfaat tersebut adalah hak mutlak pihak Bank dan boleh diubah pada bila-bila masa. Jadi semaklah status semasa kad kredit anda (Biasanya dalam laman sesawang Bank)
4. Belanja Lebih Dari Kemampuan
Ini adalah masalah utama penggunaan kad kredit. Secara psikologinya, bila seseorang itu berbelanja tanpa melihat duit yang digunakan, mereka lebih mudah untuk berbelanja. Sebab itu mereka menggunakan sistem token di pusat judi! Tambahan lagi sistem kad kredit tidak menolak duit di dalam akaun Bank tetapi menghantar bill statement secara bulanan untuk dilangsaikan.
Sikap tak bertanggungjawab dalam berbelanja inilah menyebabkan 47% pemilik kad kredit mempunyai hutang yang tinggi! Tak kurang juga mereka yang bankrap kerana kad kredit seramai 9.91%.
Inilah faktor-faktor yang perlu anda ambil kira sebelum memilih untuk menggunakan kad kredit. Sebagai tambahan ramai sahaja rakyat Malaysia yang hidup selesa bersama keluarga tanpa kad kredit. Ada rumah dan kereta serta keperluan yang lain. Yang penting mereka urus kewangan dengan baik tanpa hutang jahat.
Kalau anda perasan saya sebutkan "potensi kebaikan dan keburukan kad kredit" pada awal tadi kerana hakikatnya kad kredit hanyalah alat, kita yang menentukan baik buruknya.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!
Comments
Post a Comment