9 Tabung Anak Muda Perlu Ada
[Bacaan 6 minit]
Dulu kecik-kecik pernah ada tabung tak? Kalau ada mesti tabung gajahlah, harimau (sebab Maybank), tiang pos dan yang legend guna kotak tape VHS (Anak muda yang tak kenal cuba google). Apapun jenis tabung yang anda ada itu bermaksud mak ayah dah berikan didikan kewangan sejak kecil. Bagi yang tak ada jangan risau, kita tak pernah terlewat untuk belajar. Jadi hari ini saya nak kongsikan 9 tabung anak muda perlu ada!
1. Tabung Kecemasan
Tabung Kecemasan merupakan langkah pertama dan paling asas dalam pengurusan kewangan yang baik. Tabung ini menjadi payung utama kepada kita ketika menimpa ujian yang tak diduga. Kalau nak faham dengan lebih terperinci boleh baca di sini kepentingan tabung kecemasan.
2. Tabung Kahwin
Kalau cerita tentang anak muda pasti tak lari dengan topik kahwin. Jadi bagi yang belum berumah tangga sama ada sudah ada calon ataupun belum bersedialah dari sekarang. Kalaupun anda memilih untuk membuat majlis yang kecil, tabung ini boleh menjadi persiapan selepas berumah tangga nanti. Oh ya tabung kahwin ini tak semestinya pihak lelaki sahaja yang kumpul tetapi juga wanita. Katanya nak sehidup semati? Takkan lelaki dibiarkan cari duit bagai nak mati, wanita sibuk di Starbuck demi selfie? Wanita yang prihatin pastinya tidak begitu bahkan berusaha dan toleransi bersama barulah nampak bersedia kedua-duanya. Dah macam topik lain pulak, okay next!
3. Tabung Kereta
Kalau tadi dah nak kahwin maka wajiblah anda bersedia untuk tabung kereta pula. Mungkin ketika fasa awal anda mungkin boleh survive dengan Motor EX5 sahaja tetapi bila dah nak berumah tangga lagi-lagi jika dah nak punya anak nanti berilah keselesaan pada keluarga. Usaha anda untuk menjaga anak dan isteri pasti akan dipermudahkan rezeki tetapi perlulah datang dengan usaha. Jadi mulakan usaha dengan tabung kereta. Kereta kecil pun tak mengapa asalkan boleh jalan dan aircond yang elok!
4. Tabung Rumah
Bila dah meningkat dewasa, pastinya salah satu impian kita nak berikan rumah yang selesa untuk keluarga. Realisasikan impian anda dengan tabung khusus untuk rumah. Anda boleh menggunakan instrumen pelaburan seperti ASB-Financing dan sebagainya yang berisiko rendah atau sederhana kerana tabung rumah ini memerlukan jumlah yang besar. Kalaupun anda boleh dapat 100% pinjaman dari Bank (biasanya untuk rumah pertama dan projek baharu sahaja), simpanan ini boleh dijadikan modal untuk mengisi rumah itu tadi dengan perabot, plaster ceiling dan kabinet dapur yang cantik2 barulah seronok memasak! Walaubagaimanapun sebagai peringatan membeli rumah di usia muda tidaklah wajib kerana anda masih boleh menyewa sebagai alternatif kerana keduanya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
5. Tabung Digital
Tabung Digital ini ramai yang tak sedar tetapi pada zaman digital ini dah jadi satu keutamaan. Tabung Digital ni apa? Inilah tabung khusus untuk peralatan digital atau gadjet anda khususnya Smartphone dan Komputer/Komputer Riba (Laptop). Dua alat ini dah sebati dalam kehidupan kita apatah lagi bila melibatkan punca pendapatan. Oleh itu, penting untuk kita membuat simpanan khusus untuk gajet ini untuk memastikan tugasan kita menjadi lebih lancar. Tak semestinya perlu Smartphone berlogo buah di belakang berharga RM5000 tetapi Smartphone dengan prestasi yang bagus boleh didapati dalam jurang harga RM1000 dan ke atas.
Begitu juga laptop dan komputer. Mereka yang bekerja dalam bidang perisian komputer, videografi, reka bentuk grafik dan sebagainya biasanya memerlukan komputer berprestasi tinggi seperti cip pemprosesan i7 Alderlake atau Apple M1 Pro untuk melancarkan kerja tetapi bagi yang hanya guna untuk tujuan pengurusan dan dokumentasi seperti Microsoft Office cukup dalam jurang RM1000-RM3000.
6. Tabung Pendidikan
Tabung pendidikan ni untuk anak sekolah ke? Bukan! Tabung ni untuk sekolahkan anda! Ramai yang sangka lepas habis belajar di sekolah dan Universiti proses pembelajaran mereka tamat. Tanggapan itu adalah salah kerana pembelajaran adalah proses seumur hidup. Bahkan untuk berjaya dalam alam pekerjaan juga menuntut anda untuk teruskan belajar. Sama ada ilmu khusus berkaitan bidang anda, atau yang umum seperti pengurusan dan komunikasi apatah lagi ilmu agama!
Tabung pendidikan ini secara tak langsung mendidik anda supaya komited dalam belajar dengan membeli buku, menyertai webinar dan kursus professional. Percayalah pelaburan untuk ilmu tak pernah merugikan bahkan akan membuahkan hasil yang berlipat ganda sepanjang hidup anda.
7. Tabung Haji & Umrah
Rakyat Malaysia kalau tak kenal Tabung Haji dah boleh berpindah ke Argentina. Ya, bagi anda yang mengaku muslim usahalah untuk menjejakkan kaki ke tanah suci. Mulakan simpanan di Tabung Haji dan daftar Haji sejurus lepas cukup syarat minima RM1300. Teruskan menabung supaya anda layak (RM10,000 jumlah semasa) pergi apabila menerima panggilan. Sementara mendapat panggilan yang biasanya makan masa berpuluh tahun gunakan dahulu simpanan untuk menunaikan Umrah sebagai persediaan.
8. Tabung Pendidikan Anak
Okay, sekarang kita dah masuk tabung pendidikan anak. Pendidikan anak ini bermula dari kecil hingga dewasa. Tugas anda sebagai ibu bapa adalah usaha untuk memberikan yang terbaik melalui ilmu dan sumber kewangan. Itulah pentingnya pendidikan untuk anda tadi supaya anda juga bersedia dengan ilmu. Kemudian bersedia juga dengan kewangan untuk pendidikan pra-sekolah, sekolah dan pengajian tinggi.
Sebagai asas anda boleh gunakan skim-skim yang ada dari kerajaan seperti SSPN. Sebelum mereka dewasa, anda ada dalam 20 tahun persiapan untuk mereka sambung belajar diperingkat tinggi. Sebagai contoh, jika anda simpan RM100 sebulan dengan anggaran dividen 5%, selepas 20 tahun anda ada RM40,000 sebagai dana pendidikan. Dana itu juga boleh menjadi modal perniagaan sekiranya mereka lebih minat berniaga dari awal. Terpulang kepada pilihan masing-masing.
9. Tabung Persaraan
Ramai yang menganggap simpanan KWSP (EPF) dah menjadi sekuriti buat mereka di hari tua. Realitinya jumlah saranan minima KWSP (RM240,000) hanya mampu menampung RM1000 sebulan selama 20 tahun. Pada hari ini pun jumlah itu agak kecil apatah lagi dengan kesan inflasi 20 tahun akan datang. Belum dikira lagi statistik dari keseluruhan individu berdaftar KWSP berumur 41-55 tahun hanya 20% mempunyai jumlah saranan minima tadi.
Hakikatnya anda tidak boleh lagi hanya bergantung kepada KWSP sebagai simpanan persaraan. Sebaliknya buatlah tabung persaraan sendiri sama ada melalui skim PRS (Private Retirement Scheme), ASB-Financing dan instrumen dana lain yang patuh syariah. Tabung persendirian ini ditambah dengan simpanan KWSP akan memberi ketenangan kepada anda di hari tua nanti.
Sebelum saya menamatkan cerita, ini Tabung Bonus buat anak muda,
10. Tabung Travel
Ya, Tabung Travel. Hidup ini bukan perihal destinasi tetapi perjalanan. Ramai sahaja yang tak sempat pun merasai zaman persaraan. Ini bukanlah bermaksud anda tak perlu buat persediaan, tetapi jangan pula terlalu fokus kepada destinasi yang hujung hingga anda lupakan hari ini. Hargai setiap hari yang ada. Berjalan, bermusafir atau bahasa millenial nya travel sebenarnya adalah satu elemen penting dalam kehidupan.
Travel tak semestinya ke Krabi atau Europe boleh juga dalam negara bahkan negeri sendiri. Yang penting anda keluar sementara dari tempat yang sama untuk melihat keindahan alam dan mengambil pengalaman baharu. Pengalaman itu akan membuka perspektif baru dalam diri anda.
Inilah pentingnya anda membuat persiapan lebih awal terutama dari segi kewangan. Jangan sesekali meminjam duit untuk travel! Sediakan tabung khas contohnya RM1000 setahun untuk tujuan travel. Simpanlah mengikut bajet masing-masing. Ukur baju di badan sendiri.
Tabung-tabung ini tujuannya adalah untuk memudahkan anda menguruskan kewangan. Ia tidaklah rigid jadi laksanakan mengikut cara masing-masing asalkan matlamat nya tercapai!
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!
Comments
Post a Comment