Jangan Hantar Resume Lagi! Ini 5 Faktor Dalam Memilih Kerja
[Bacaan 5 Minit]
Dikhabarkan tahun 2021 lebih 700,000 penduduk Malaysia yang menganggur. Walaupun punca utamanya adalah Pandemik yang tidak terjangka tetapi dunia pekerjaan sekarang memang cukup mencabar. Peluang pekerjaan yang terhad dan gaji yang rendah adalah 2 isu yang paling hangat. Jika sebelum ini saya pernah kongsikan 7 sebab individu gagal dalam kerjaya dan 3 langkah untuk maju dalam kerjaya, hari ini saya nak back to basic untuk berkongsi faktor-faktor dalam memilih pekerjaan.
1. Minat
Memilih kerja berdasarkan minat adalah penting tetapi haruslah difahami minat tidak semestinya spesifik walaupun ada orang yang dari kecil dah tahu nak jadi Doktor, Jurutera, Peguam dan sebagainya. Boleh jadi anda minat berkomunikasi, menganalisis data, kewangan, teknologi, menulis dan sebagainya. Maka kerjaya yang anda pilih mungkin merangkumi beberapa aspek yang anda minat tadi.
Jadi tak perlu rasa resah jika anda tak punya cita-cita yang jelas dari kecil kerana itulah realiti kehidupan yang akan mula anda fahami bila meningkat dewasa. Beri peluang pada diri anda untuk menceburi sesuatu yang anda minat tetapi janganlah terlalu rigid dengan satu pilihan sahaja. Boleh jadi anda akan mula membina minat selepas mendalami pekerjaan yang baru itu. Apa yang penting ialah anda dapat memajukan diri dalam kerjaya yang diceburi dan beri manfaat kepada orang lain.
2. Insentif
Kalau dah kerja tak lain tak bukan mestilah bergaji kan? Insentif anda juga adalah penting dalam pemilihan kerja. Antara insentif yang perlu anda nilai adalah Gaji pokok, Komisen (jika ada), Elaun (jika ada), Cuti Tahunan, Cuti Sakit, Perlindungan Perubatan, Bonus dan sebagainya. Nak dapatkan yang sempurna itu mungkin sukar tetapi setidaknya anda boleh letakkan tanda aras berdasarkan kelayakan anda dan pasaran semasa. Ya, bukan emas dan saham sahaja, kerja pun ada harga pasaran semasa! Cari nilai pasaran kerja melalui portal atau aplikasi kerja seperti LinkedIn, JobStreet dan sebagainya.
3. Persekitaran
Bab persekitaran ini pertamanya adalah lokasi tempat kerja anda. Ya, lokasi pun penting. Anda nak kerja perlu fikirkan kemudahan akses, masa perjalanan dan kos-kos terlibat seperti duit minyak dan tol. Bandingkan dengan insentif yang ditawarkan dan pastikan ia berbaloi. Keduanya adalah persekitaran kerja atau work culture.
Soal work culture ini mungkin tak mudah terutamanya bila anda masih lagi di luar tetapi ada beberapa cara nak kenalpasti work culture sesebuah syarikat yang bagus seperti merujuk turnover rate. Turnover rate (TR) adalah kadar perubahan pekerja di sesebuah syarikat. TR yang bagus adalah dalam lingkungan 2-5 tahun. Ini menandakan pekerja berpuas hati dengan syarikat berbanding dengan TR 2 tahun ke bawah. Perlu difahami TR yang agak tinggi juga mungkin menjadi signal yang tidak bagus kerana pekerja tidak mengalami progress dalam kerjaya. Anda juga boleh mencari bekas pekerja dari syarikat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tetapi hati-hati juga dengan penilaian yang mungkin bersifat bias.
4. Growth
Faktor ke-4 ini adalah yang paling penting tetapi ironinya sangat kurang diberi perhatian. Hakikatnya jika pekerjaan itu menawarkan insentif dan persekitaran yang bagus tetapi tiada peluang perkembangan yang jelas anda mungkin merisikokan kerjaya anda pada jangka masa panjang. Mungkin anda berasa selesa pada awalnya tetapi jika tidak banyak peluang untuk anda membina kemahiran dan portfolio sampai satu tahap anda tidak lagi berkembang dalam kerjaya dan mungkin kekal di tempat yang sama atau lebih buruk mungkin digantikan sama ada dengan pekerja lain atau teknologi yang lebih cekap.
Faktor Growth ini juga menjadi jawapan kepada anda yang mungkin sukar mendapatkan pekerjaan dengan insentif yang tinggi pada awalnya. Jika insentifnya sama, maka pilihlah yang lebih tinggi peluang kerjayanya. Walaupun bermula dengan insentif yang rendah tetapi anda mempunyai kelebihan untuk membina kemahiran dengan peluang yang ada. Bila anda mula membina kemahiran dengan bersungguh ia akan meningkatkan nilai diri anda. Apabila nilai diri anda sudah meningkat barulah anda layak untuk mendapatkan insentif yang lebih sama ada melalui kenaikan gaji atau memohon di tempat yang baru dengan insentif dan jawatan yang lebih tinggi.
5. Matlamat Akhir
Faktor yang terakhir dalam memilih pekerjaan adalah memastikan setiap pekerjaan yang dipohon membawa kepada matlamat akhir. Sebagai contoh mungkin anda ingin menjadi seorang Ahli Ekonomi. Boleh jadi anda bermula dalam sektor kerajaan sebagai pegawai dalam agensi berkaitan. Bermula dari bawah dan bina diri dengan kemahiran dan menyambung pelajaran diperingkat Master dan PhD sehingga menjadi Pengarah Jabatan. Boleh jadi anda bermula dengan syarikat swasta seperti syarikat dagangan. Bermula sebagai Eksekutif Operasi kemudian menjadi Senior Executive, Head of Department (HOD), General Manager (GM) hingga Board of Director (BOD) dengan mengambil sijil-sijil Professional.
Kesimpulannya permulaan awal dalam kerjaya kebiasaannya tidak memberi gambaran jelas tentang masa depan kita. Bahkan bertukar kerjaya dalam tempoh 5 tahun pertama adalah sesuatu yang normal. Tetapi apa yang boleh anda dilakukan adalah membuat pilihan yang membantu anda menjadi lebih dekat dengan matlamat utama. Jika anda konsisten membuat keputusan yang selari dengan matlamat dan bersungguh dalam membina nilai diri maka yakinlah peluang yang terbaik buat diri anda akan hadir pada masa yang terbaik.
Anda rasa tulisan ini bermanfaat? Kongsikan melalui butang share di bawah.
Ada soalan atau pandangan tentang topik ni? Tinggalkan komen anda di bawah
Nak tambah Ilmu? Dapatkan bahan bacaan anda di sini:-
https://bconline.com.my/friends/idevaffiliate.php?id=3517
Lebih 10,000 judul buku untuk diterokai!
Comments
Post a Comment